Pun begitu krisis dalaman yang melanda PKR ─ yang dikaitkan dengan pemilihan secara langsung - ternyata memberikan impak negatif kepada PKR dan kepimpinan Anwar (gambar) dan keyakinan terhadap parti pimpinannya.
Kajian kendalian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya menunjukkan 43 peratus responden yang ditemui masih menaruh keyakinan terhadap Ketua Umum Pakatan Rakyat itu berbanding 41 peratus responden berpendapat sebaliknya.
Peratusan kadar persetujuan berhubung soalan itu tidak jauh berbeza. Sebanyak 16 peratus responden pula menyatakan tidak pasti terhadap soalan yang dikemukakan iaitu kerelevenan Anwar dalam politik negara berikutan krisis dalaman yang melanda PKR dan serangan peribadi terhadap beliau yang hebat oleh pelbagai pihak dengan menggunakan media arus perdana dan televisyen.
Persoalan itu menurut pusat tersebut dikemukakan bagi menguji tahap keyakinan masyarakat terhadap beliau dan PKR ketika ia baru selesai mengadakan pemilihan langsung julung kali, yang turut tercalar dengan dakwaan kecacatan dan kepincangan proses pengundian.
"Respons yang ditunjukkan ini memperlihatkan bahawa walaupun dengan kempen dan usaha dilakukan bagi menghakis pengaruh beliau, namun peratus anggota masyarakat yang masih menaruh keyakinan kepada Datuk Seri Anwar masih tinggi.
"Apabila ditunjukkan hasil kajian yang memperlihatkan 41 peratus responden berpendapat bahawa beliau sudah tidak releven dengan politik negara, Datuk Seri Anwar menganggapnya sebagai sesuatu yang sudah diduga, dan malahan berpendapat bahawa usaha memburukkan beliau dan PKR masih tidak begitu berjaya kerana masih terdapat peratus yang tinggi yang menaruh keyakinan kepada kepimpinan beliau," kata Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Profesor Dr. Mohammad Redzuan Othman dalam kenyataan yang merumuskan hasil kajian itu.
Sebaliknya menurut beliau, kempen oleh media arus perdana terhadap PKR dan beliau telah memberikan publisiti kepada parti tersebut yang selama itu sukar medapat liputan.
"Beliau juga menaruh keyakinan bahawa dengan masalah rumah tangga PKR yang akan secara proaktif akan diselesaikan setelah berakhirnya pemilihan parti dan gerak kerja seluruh negara yang akan dipergiatkan, beliau yakin prestasi parti akan dapat diperbaiki," katanya.
Kajian persepsi masyarakat terhadap parti dan kepimpinan PKR dijalankan bulan lalu ketika ia masih mengadakan pemilihan pusat.
Kata pusat itu, kemelut dalaman yang melanda PKR membabitkan beberapa orang Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang bertanding atas tiket parti tersebut dalam pilihan raya umum ke-12 meninggalkan parti dan kecelaruan yang berlaku dalam pemilihan pimpinan parti baru-baru ini telah menarik perhatian rakyat secara umumnya.
Gambaran terhadap krisis dalaman yang dihadapi oleh PKR ini diperburukkan dengan gembar-gembur dan serangan secara besar-besaran oleh media arus perdana yang turut menjadikan Anwar, yang juga penasihat PKR, sebagai sasaran.
Kajian lapangan membabitkan 1,124 responden telah dijalankan antara 19 hingga 21 dan 27 hingga 28 November lalu ketika isu ini hebat dipaparkan oleh media arus perdana dan televisyen.
Kawasan yang menjadi tumpuan kajian ialah di sekitar Lembah Klang dan Selangor yang melibatkan kawasan Parlimen seperti Cheras, Bandar Tun Razak, Titiwangsa, Ampang, Bukit Bintang, Subang Jaya, Wangsa Maju dan Lembah Pantai.
Kawasan ini dipilih memandangkan penduduknya secara relatif agak terdedah kepada perkembangan politik yang lebih dinamik dan menunjukkan sikap menyokong politik pembangkang.
Selain itu, kawasan yang dipilih terletak di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang merupakan kawasan yang merekodkan paling ramai ahli PKR yang terlibat dalam proses pengundian dan pemilihan pimpinan parti.
Di samping itu, Selangor merupakan negeri yang ditadbir kepimpinan PKR dan perkembangan semasa yang berlaku secara langsung atau tidak mempunyai kaitan dengan masa depan parti tersebut, khususnya di negeri tersebut.
Anwar juga merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen dan penasihat ekonomi bagi kerajaan negeri Selangor.
Dalam pada itu berhubung soalan sama ada kemelut dalaman PKR menghakis keyakinan terhadap parti dan kepimpinan Anwar, seramai 52 peratus responden bersetuju manakala 29 peratus berpandangan sebaliknya.
Seramai 19 peratus mengatakan tidak pasti.
"Krisis dalaman yang melanda PKR ternyata memberikan impak negatif kepada PKR dan kepimpinan Datuk Seri Anwar.
"Namun, jumlah 29 peratus yang berdiri teguh di belakang PKR dan kepimpinan Datuk Seri Anwar menunjukkan bahawa terdapat peratus yang tinggi yang masih merupakan penyokong tegar parti dan kepimpinannya," kata beliau.
Redzuan juga berkata kajian pihaknya juga jelas menunjukkan bahawa keyakinan masyarakat mengalami penghakisan dengan kemelut dalaman yang melanda PKR dan sekali gus turut menghakis keyakinan terhadap Anwar.
"Respons yang diberikan oleh responden juga menunjukkan bahawa mereka mengambil perhatian terhadap perkembangan dalaman PKR dan mempengaruhi keyakinan mereka terhadap parti tersebut dan kepimpianannya," katanya.
Bagi persoalan sejauh mana krisis dalaman yang berlaku dalam PKR menghilangkan keyakinan terhadap parti tersebut, Redzuan berkata, 49 peratus responden menyatakan kehilangan keyakinan pada parti tersebut berikutan kemelut yang berlaku.
"Walau bagaimanapun, 30 peratus responden masih menaruh kepercayaan kepada parti tersebut, meskipun dengan pelbagai kemelut yang melanda.
"Walaupun tahap ketidakyakinan terhadap PKR secara relatifnya tinggi, tetapi peratus tidak pasti juga agak tinggi iaitu sebanyak 21 peratus," katanya lagi.
Kata beliau, peratus yang ditunjukkan ini memperlihatkan bahawa saingan kepada PKR masih belum mampu meraih sokongan yang meyakinkan berikutan pendirian masyarakat yang prihatin terhadap kemelut yang melanda PKR.
Jelas beliau, peratus yang ditunjukkan oleh responden juga memperlihatkan bahawa kempen anti-PKR yang dilakukan oleh saingan PKR dalam politik negara masih belum menunjukkan hasil yang meyakinkan.
"Di pihak PKR pula peratus ini jelas memperlihatkan bahawa krisis dalaman yang berpanjangan yang melanda parti tersebut menyebabkan masyarakat terhakis keyakinannya terhadap parti tersebut," katanya lagi.
Redzuan juga berkata, kajian ini menunjukkan ekoran krisis dalaman parti semasa 43 peratus responden hilang keyakinan kepada PKR dan ini akan mempengaruhi pendirian mereka apabila mengundi kelak.
"Walau bagaimapun, sebanyak 35 peratus responden masih menaruh kepercayaan kepada PKR dan akan terus menyokong parti tersebut manakala 22 peratus berpendirian tidak pasti," katanya.
Kata beliau, walaupun dari segi peratus sokongan mengikut angka memperlihatkan PKR jauh tercicir, namun medan masih terbuka luas kerana peratus yang menolak PKR masih belum mencapai jumlah yang meyakinkan iaitu lebih 50 peratus dan jumlah mereka yang dikategorikan sebagai "atas pagar" agak tinggi.
"Prestasi yang ditunjukkan oleh parti-parti yang bersaing menjelang pilihan raya umum ke-13 masih merupakan faktor penentu sebelum pengundi membuat keputusan muktamad apabila berada di peti undi menjelang hari membuang undi tiba," katanya.
No comments:
Post a Comment