DSAI BERSAMA AMKPP #TAWAN416!

DSAI BERSAMA AMKPP #TAWAN416!

Sunday, May 6, 2012

Kasih Anak: Saya Tidak Pernah Derhaka

PEJABAT TIMBALAN PRESIDEN
PARTI KEADILAN RAKYAT
ISNIN | 7 MEI 2012

Allahyarham ayahanda saya, Pak Ali senantiasa mendidik saya untuk patuh kepada tuntutan Al Quran, berakhlak luhur dan tuntas istiqamah kepada prinsip perjuangan. Didikan dari kecil untuk menghormati serta mengasihi kedua ibu-bapa sesuai dengan pesan ajaran agama Islam menjadi pegangan saya.

Saya tidak pernah menderhaka kepada ibu saya. Saya senantiasa kasih dan sayang kepada ibu dan bapa saya. Saya tetap mendoakan semoga ibu saya senantiasa berada dalam lindungan Allah SWT dan mendapat rahmatNya serta beroleh kesihatan yang baik. Saya turut mendoakan semoga Allahyarham ayahanda saya mendapat husnul khatimah dan ditempatkan ruhnya di syurga yang penuh nikmat.

Saya menyeru kepada media supaya tidak menganggu ibu saya dan UMNO janganlah mengheret ibu saya ke dalam kancah politik UMNO yang kotor dan jijik. Institusi keluarga termasuk hubungan kekeluargaan perlu disejahterakan dan bukannya diaibkan di dada media.

Saya tetap sayang dan hormat ibu saya. Saya juga bersyukur dianugerahkan isteri, Shida yang taat dan setia serta anak-anak yang memahami citra perjuangan yang murni ini.

Saya bertekad untuk meneruskan perjuangan menjana perubahan melalui wacana segar yang mengangkat dasar kepedulian rakyat. Saya berazam untuk melawan budaya politik jelik yang disuburkan oleh UMNO dan media yang ditunggangi mereka.

Saya berserah segala-galanya kepada Allah SWT dalam menghadapi mehnah ini tetapi saya tidak akan tunduk menyerah kepada tekanan fitnah UMNO. Saya akan tumpu kepada usaha dan kerja- kerja Parti selaku Pengarah Jabatan Pilihanraya Pusat (JPRP) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 yang dijangkakan pada bulan Jun 2012.

Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden KEADILAN
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Wednesday, May 2, 2012

KECAM FITNAH JAHAT TERHADAP TIMBALAN PRESIDEN KEADILAN - 3 MEI 2012

Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) mengecam fitnah jahat yang dilemparkan oleh Umno dan blogger Pro-Umno Papagomo terhadap YB Azmin Ali, Timbalan Presiden KEADILAN. Fitnah seks dan lucah yang diulang - ulang memperlihatkan ketandusan Umno dalam menghadapi tekanan rakyat yang semakin jelek dengan salahguna kuasa dan penyelewengan yang Umno telah lakukan.

Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) juga mengutuk sekeras – kerasnya tindakan media utama, TV3 dan juga Utusan Malaysia, yang tanpa segan memaparkan gambar - gambar lucah yang berunsur fitnah kepada masyarakat. Kebiadapan ini bukan saja melanggar tatasusila Islam dan Melayu, tetapi telah merendahkan tahap kewartawanan negara ini.

Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) menyeru kepada seluruh rakyat untuk menolak budaya politik fitnah dan lucah yang diamalkan Umno ini. Sudah tiba masanya kita kembali kepada amalan politik nilai dan dasar agar dapat kita kembalikan maruah bangsa dan negara kita yang tercemar teruk di bawah pemerintahan Umno dan Barisan Nasional.


AMIR GHAZALI
Ketua,
Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang
(AMKPP)
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tuesday, March 20, 2012

24 MAC: DSAI BERSAMA AMKPP #TAWAN416!

#TAWAN416 adalah merupakan genderang perang yang dipalu oleh AMK Pulau Pinang untuk terus mempertahankan kemenangan di 4 Parlimen dan 16 DUN yang ditandingi KEADILAN di Pulau Pinang. Ini menuntut usaha gigih AMK Pulau Pinang untuk merampas kembali 2 Parlimen dan baki 8 kerusi DUN yang masih dikuasai UMNO/BN di negeri ini. Tiada apa yg mustahil dalam politik. Hanya doa, usaha keras dan muafakat yang akan memastikan kemenangan rakyat pasca 308 itu dikekalkan. Impak program #TAWAN416 ini, ditambah lagi dengan kehadiran Ketua Umum KEADILAN, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudi untuk bersama-sama rakyat di sepanjang kembara ini. Ada 6 'stesyen/pit-stop' menanti persinggahan DSAI, dan mari kita raikan bersama! Untuk DSAI & RAKYAT, ayuh sama2 kita meriahkan program hebat ini. Sebarkan dan tag ramai2 rakan2 fb & twitter saudara/i. Terima kasih & REFORMASI!!

Saturday, January 7, 2012

SIARAN MEDIA AMKPP: Kecam Cubaan Membunuh Presiden KEADILAN!

8 Januari 2012

Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) hari ini mengecam sekeras-kerasnya terhadap insiden cubaan membunuh Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada malam tadi. Serangan itu walaupun dapat dielak oleh Saudara Fayyad al-Bakri, pengawal keselamatan Keluarga Anwar Ibrahim, ia tetap diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh! Pihak Hospital Seberang Jaya telah mengesahkan serangan itu berpunca dari tusukan jarum yang menyuntik kandungan morfein berlebihan ke tapak tangan Fayyad. Suntikan beracun itu telah menghentikan nadi Fayyad buat seketika. Allah Maha Besar, terkini setakat 10.00 pagi, Fayyad sudah sedar dan dilaporkan stabil.

AMKPP memandang serius akan isu ini, kerana cubaan membunuh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya seakan sudah diatur sekian lama sejak penglibatan Anwar Ibrahim di dalam politik tanahair. Kita masih ingat akan insiden helikopter terhempas pada tahun 1994, rempuhan ala gestapo di rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Reformasi 1998, keracunan arsenik di penjara, kereta Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dirosakkan breknya, serangan tembakan kanister gas CS semasa BERSIH 2 di KL Sentral dan terkini, serangan jarum beracun di Galeri Pejuang Cherok To’Kun. Kesemua serangan ini tidak lain, adalah ditujukan terus kepada Anwar dan isterinya, Wan Azizah.

Sebagai respon segera, AMKPP telah membuat laporan polis terhadap insiden ini sejurus selepas serangan malam tadi. Pihak kami berterima kasih dengan pihak polis yang segera menghantar pasukan penyiasat dari Jabatan Siasatan Jenayah Negeri dan kami berharap pihak polis dapat menjejak pelaku ini segera dan menghadapkannya ke muka pengadilan. Pihak kami juga telah mengarahkan Unit Ehsan Pulau Pinang dan Unit Keselamatan Parlimen Permatang Pauh (UKP) untuk mengiringi pemergian pulang dan memastikan keselamatan Dato’ Seri Wan Azizah kembali ke Kuala Lumpur.

Akhir sekali, AMKPP ingin mengisytiharkan kepada semua musuh-musuh Anwar Ibrahim dan keluarganya, jika kamu memusuhi Anwar Ibrahim dan keluarganya, bermakna kamu memusuhi kami dan seluruh rakyat! Kami akan menjadi benteng dan barisan pertahanan terakhir untuk keluarga Anwar Ibrahim dari perbuatan pengecut dan bacul kalian. Kepada UMNO dan sekutu-sekutunya, jangan ambil sikap lepas tangan. Jika kami dapati ada hubungan dan perkaitan antara insiden ini dengan kamu, tunggulah ombak revolusi yang akan membadai keangkuhan kalian!


SYED MIKAEL RIZAL AIDID
Setiausaha,
Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP)

Monday, October 10, 2011

Belanjawan Antara Ideologi dan Moral

Oleh:Megat Rizuan bin Megat Abdul Hamid

10 Oktober 2011

Dari: http://jalantelawi.com/

"Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah dan bagi kaum kerabat (Rasulullah) dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan perbelanjaan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya). Al-Haysr: ayat 7

Belanjawan

Setiap Kerajaan sesebuah negara di dunia pasti akan membentangkan belanjawan mereka pada setiap tahun. Elemen penting dalam setiap Belanjawan Negara ialah Pendapatan dan Perbelanjaan kerajaan. Sumber pendapatan kebiasaannya datang daripada hasil cukai. Manakala perbelanjaan pula terbahagi kepada dua jenis, iaitu perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan. Belanjawan Negara juga sudah pastinya tidak dapat dipisahkan daripada ideologi politik serta ekonomi setiap kerajaan yang memerintah.

Belanjawan 2012 telahpun dibentangkan oleh Perdana Menteri. Namun begitu, sejauh manakah peranan ideologi mempengaruhi keberkesanan belanjawan tersebut? Apakah belanjawan tersebut dilihat Islamik apabila mukadimahnya dimulai dengan Surah Quraisy ayat 3-4? Apakah ianya kelihatan cukup Liberal apabila diumumkan bahawa 17 subsektor perkhidmatan akan diliberalisasikan dalam usaha 'Meligat Pelaburan'? Atau apakah ianya dilihat sebagai mengutamakan Modal Insan apabila yuran sekolah dihapuskan dan banyak bantuan yang diumumkan dalam sektor pendidikan? Apakah belanjawan itu kelihatan cukup Berkebajikan dan Sosialis apabila bantuan RM500.00 diumumkan kepada isi rumah yang berpendapatan RM3000.00 dan ke bawah? Apakah ini satu bentuk belanjawan yang mengutamakan Ideologi Campuran untuk mencapai matlamat belanjawan terbaik?

Kepentingan Hak Rakyat dan Kerajaan

John Stuart Mill pernah mengungkapkan "the struggle between Liberty and Authority is the most conspicuous feature in the portions of history." Mill menyatakan bahawa perjuangan antara Hak Rakyat dan Pihak Berkuasa adalah ciri yang paling mudah untuk dilihat di dalam setiap bahagian sejarah. Sudah pastinya dalam setiap Belanjawan Negara, pasti kelihatan ada perbezaan kepentingan di pihak rakyat dan kerajaan. Setiap belanjawan juga pasti tidak dapat memenuhi kehendak semua pihak. Namun begitu, keperluan asas rakyat dan negara mestilah diutamakan oleh kerajaan. Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan dan rakyat untuk meminimumkan setiap perbezaan kepentingan yang timbul.

Pembahagian Kekayaan Negara

Pada pendapat saya, ayat 7 surah Al-Hasyr adalah amat penting untuk dijadikan rujukan asas bagi setiap belanjawan.

"supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu"

Ayat tersebut mempunyai dua elemen yang sangat penting. Elemen pertama ialah pada perkataan 'beredar'. Perkataan 'beredar' ini amat berkait rapat dengan 'pergerakan', dan setiap 'pergerakan' memerlukan 'pemacuan'. Maksud sebenar perkataan 'beredar' ialah menuntut manusia terutamanya pihak berkuasa untuk 'memacu' ekonomi. Elemen kedua ialah maksud keseluruhan ayat itu sendiri yang menuntut supaya kekayaan Negara itu dapat dinikmati oleh setiap rakyat. Elemen yang kedua ini juga menuntut satu bentuk ekonomi atau belanjawan yang adil dan menekankan konsep akhlak dan moral.

Akhlak, Moral dan Ideologi

Persoalan ideologi dalam ekonomi atau politik adalah perkara kedua, inh adalah berdasarkan pemerhatian saya. Ianya bukan bermaksud bahawa sebarang ideologi itu tidak penting. Ideologi amat penting kerana ianya adalah jalan pemikiran yang akan menterjemahkan setiap keputusan yang akan kita ambil. Akan tetapi tidak berguna jika kita bicara soal Liberalisme, Sosialisme atau Kapitalisme jika semua pengamalan ideologi ini masih didasari oleh rasuah, penyelewengan, pemborosan serta kronisme dan nepotisme?

Setiap kerajaan, boleh mengumumkan apa sahaja bentuk Belanjawan dan Ideologi Ekonomi, akan tetapi apakah pula jaminan bahawa setiap perbelanjaan kerajaan itu adalah bersih dan tidak korup? Sebagai contoh, sesuatu kerajaan yang mengumamkan peruntukan 1 billion untuk sektor pendidikan, ini menunjukkan kerajaan yang mementingkan soal Modal Insan. Akan tetapi apakah jaminan bahawa 1 billion tidak akan diseleweng. Jika pembinaan bangunan baru di sekolah-sekolah serta pembekalan kemudahan buku latihan hanya diberikan kepada kroni serta terlalu banyak ketirisan, unsur-unsur korup dan penyelewengan, maka tidak berguna rakyat dan kerajaan bercakap tentang Modal Insan!

Tidak berguna juga kita bicara soal ideologi jika para pemimpin kerajaan dan kerajaan sendiri berbelanja secara boros. Masalah ini tidak tertakluk kepada mana-mana kerajaan yang wujud dunia ini. Cuma fenomena seperti ini secara umumnya kelihatan jelas di kalangan negara-negara membangun.

Di Negara-negara maju, sikap kerajaan yang korup dan boros ini kurang kelihatan. Keadaan ini wujud oleh kerana mereka sentiasa dikekang oleh undang-undang yang telus dan rakyat yang sentiasa memerhatikan sikap kerajaan. Oleh kerana kurangnya masalah korupsi dan pemborosan oleh kerajaan ini, maka pertembungan ideologi dan kecekapan tata urus belanjawan menjadi isu penting di negara-negara maju.

Defisit dan Keynes

Belanjawan defisit secara berterusan juga amat membimbangkan. Ini membuatkan beban hutang kerajaan semakin bertambah dan ianya juga boleh menjejaskan nilai matawang dan kekukuhan ekonomi sesebuah negara. Prinsip ekonomi John Maynard Keynes selalu diselewengkan dalam setiap bentuk ekonomi dan belanjawan yang tidak berakhlak.

Secara ringkasnya, Keynes mengatakan bahawa sedikit belanjawan defisit adalah baik untuk negara. Dengan syarat bahawa defisit itu berlaku kerana kepentingan Negara. Contohnya jika sesebuah negara itu mengalami belanjawan defisit oleh kerana mahu meningkatkan mutu sektor pendidikan dengan syarat perbelanjaannya mesti telus. Jika defisit itu berlaku oleh kerana pemborosan kerajaan atau kerajaan berbelanja terhadap perkara yang tidak produktif, maka ianya tidak dapat diterima sama sekali!

Ceteris Paribus

Kenaikan harga barangan dan perbelanjaan rakyat tidak boleh diukur secara Ceteris Paribus. Sebagai contoh, kerajaan tidak boleh secara mudah mengatakan bahawa sesuatu harga barangan itu naik oleh kerana permintaan terhadap barangan itu meningkat atau kos pembuatan yang meningkat. Itu hanyalah perbandingan mudah, Ceteris Paribus.

Peningkatan harga sesuatu barangan juga sebenarnya berlaku jika wujud unsur-unsur korupsi dan penyelewengan. Bayangkan, jika wujud unsur-unsur korupsi dan penyelewengan pada setiap peringkat pembinaan sesebuah projek perumahan, maka ini akan melibatkan kenaikan kos yang ditanggung oleh Pemaju dan beban kos itu akan dibebankan terhadap pembeli, iaitu rakyat. Ini yang mesti diperhatikan oleh kerajaan dan rakyat mesti sedar akan keadaan ini.

Kesedaran

Untuk berubah kepada ekonomi serta politik yang berakhlak, bermoral dan manusiawi perlu ada sikap yang serius terhadap usaha membanteras penyelewengan. Sikap Bebalisme dan tidak ambil endah pada aspek ini akan merosakkan sistem ekonomi dan politik negara. Kesedaran untuk berubah bermula dengan perlawanan terhadap segala bentuk kezaliman dan korupsi.

Megat Rizuan Bin Megat Abdul Hamid,
Alumnus Akademi Pak Sako,
"tulis.ubah.dunia"

Credit:
Jalan Telawi (http://jalantelawi.com/)

Nota:
Akademi Pak Sako merupakan projek penjenamaan semula program Bengkel Penulis Muda yang suatu ketika dahulu pernah dianjurkan oleh Institut Kajian Dasar (IKD). Selain mengenalpasti bakat-bakat baru dari kalangan anak-anak muda, Akademi Pak Sako juga akan mengendalikan siri latihan secara serius untuk menggilap dan mengembangkan potensi penulis-penulis muda terutamanya dari aspek kewartawanan, propaganda politik, aplikasi media baru, satira, falsafah dan juga penterjemahan.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Saturday, September 24, 2011

Isu Hudud: Penjelasan Lengkap Ucapan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Terengganu

24hb September 2011

Saya tegaskan bahawa Pakatan Rakyat merupakan suatu muafakat utuh dan berlandaskan kejujuran mahukan Perubahan buat rakyat negara Malaysia. Oleh kerana itu, isu yang menyentuh kepentingan rakyat pastinya dibincangkan bersama kesemua wakil dari parti komponen serta keputusan yang dibuat merupakan pendirian bersama. Pun demikian Pakatan Rakyat berpendirian, setiap dari parti komponen sewajarnya mempunyai ruang untuk mengungkapkan keyakinan, faham serta ideologi terutamanya kepada pendokong mereka. Saya sendiri telah merujuk ke mahkamah syariah berkaitan tuntutan qazaf, dan pimpinan Pakatan Rakyat tidak pernah pula menghalang. Hakikatnya hanya Menteri Hal Ehwal Agama Umno yang bertindak menghalang saya dari meneruskan tuntutan qazaf tersebut. Selain itu Dato' Jamil Khir terpalit dengan tuduhan bahawa beliau menggunakan dana zakat bagi membiayai kos guaman kerana tidak memulakan pendakwaan terhadap Saiful Bukhari dalam tuntutan Qazaf saya. Permuafakatan Pakatan Rakyat bukanlah suatu bentuk usahama seperti Umno-BN yang sekadar mahu mendapat laba politik sehingga menafikan hak serta suara mereka yang tidak sehaluan.

Berkaitan hasrat Negeri Kelantan mahu melaksanakan hudud, saya berpandangan kita sewajarnya menghormati keputusan tersebut, namun pastinya ia tertakluk kepada beberapa perkara. Pertamanya persoalan Maqasid al Syariah, Matlamat Utama Syariah, iaitu menjamin keadilan untuk semua. Malah dalam karya saya yang berjudul Gelombang Kebangkitan Asia, tuntas saya ungkapkan keutamaan Maqasid al Shariah demi menjamin keadilan untuk semua. Justeru adalah baik untuk kita merenung beberapa aspek perundangan syariah yang berjaya dilaksanakan di Kelantan, maka tidak wajar buat saya menempelak atau meremehkan langkah tersebut.

Sebagai seorang Muslim, pastinya saya menjunjung tinggi perintah Allah SWT serta pesan-pesan Nya yang terkandung di dalam Al Quran. Apabila ditanya, apakah pandangan saya mengenai hudud di Malaysia dan isu berkaitan undang-undang syariah serta perlaksanaannya oleh mahkamah syariah di negara ini, jawab saya, dalam konteks masyarakat Malaysia, kita semua tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Oleh kerana itu perlaksanaan hukum Islam sewajarnya mengambil kira keberkesanan pentadbiran mahkamah syariah negara ini memastikan keadilan untuk semua. Menyentuh persoalan keadilan untuk semua, perlaksanaan undang-undang syariah semestinya menjamin hak bukan Islam tidak dicerobohi serta dizalimi. Saya menasihati rakan-rakan untuk meneliti kenyataan saya ini berasaskan muafakat yang tertera dalam Buku Jingga:

"Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153."

Namun apa yang saya kesalkan adalah hipokrisi Umno-BN memperalatkan isu hudud ini sebagai permainan politik. Pimpinan Umno-BN tidak pernah berhasrat membincangkan isu ini secara tuntas dan serius. Mantan perdana menteri, Dr Mahathir menolak bulat-bulat malah mempersendakan peranan undang-undang syariah serta beberapa pesan yang dianggap sebahagian dari sunnah Rasulullah SAW. Media yang dikuasai pemerintah pula mencanangkan kononnya undang-undang syariah sebagai suatu warisan zaman primitif. Harus diingat, pandangan beberapa kerat pimpinan Umno yang mempersenda hukum Islam ini sesungguhnya tidaklah mewakili umat. Waima mutakhir ini beberapa pimpinan Umno memperlihatkan diri sebagai jagoan memperjuangkan Islam, manakala seringkali pula mereka menuduh pimpinan Pakatan Rakyat sebagai pengkhianat agama dan bangsa, sedangkan yang sering dilaung-laungkan oleh pimpinan Umno-BN sekadar retorika membakar sentimen serta sering tersasar dari kehendak syariah yang mahukan kemaslahatan untuk rakyat.

 

ANWAR IBRAHIM

 

Shorter version in English of the statement above hereby attached.

 

The implementation of hudud in the state of Kelantan must in all circumstances be subject to the maqasid al Shari'a, that is, the Higher Objectives of the Shari'a, the most paramount of which is to ensure justice for all, regardless of race, status or religion. This warrants the existence of Shari'a judges who are capable of dispensing justice without fear or favour and a Shari'a judicial system which is independent of political pressure or other kinds of influence that would impair its functions in the administration of justice.

As a Muslim, I am bound by the commandments of my religion including the injunctions as ordained in the Holy Qur'an. As I have stated before, the right to practice one's faith is a fundamental freedom that is guaranteed by the Federal Constitution. In this regard, it must be stressed that non-Muslims are and must continue to be in all circumstances exempt from the Shari'a jurisdiction. This view is perfectly consistent with the position of the Pakatan Rakyat as laid out in the Orange Book:

 "...to defend the Federal Constitution, to uphold the position of Islam as the religion of the Federation, to ensure that other religions may be professed and practiced fully, and to safeguard the special position of the Malays and the natives of Sabah and Sarawak as well as the interests of other races in line with Article 153."

We condemn the hypocrisy of UMNO and Barisan Nasional in exploiting the hudud issue for political mileage. Even more deplorable are the sinister machinations orchestrated by UMNO in attempting to stoke the fires of ethnic and religious tension by repeatedly playing up the issue in their media.

To the non-Muslim audience, they project an anti-Shari'a stance even on some occasions rubbishing it as a primitive system while to the Muslim audience; they relentlessly attack Pakatan Muslim leaders as being traitors to their religion and race by consorting with non-Muslim leaders. Without doubt these actions are part and parcel of the overall plan to drive a wedge in the Pakatan coalition and bring about internal strife and in the process hope to weaken the coalition and the chances of victory in the next elections

I would like to stress that Pakatan Rakyat is a coalition built on the principle of consensus and mutual trust and respect. We hold firm to the conviction that any issue which affects the interest of the people must be discussed frankly in a civilized manner with the objective of seeking an amicable resolution. We also believe that each and every component party of the coalition should be given its legitimate right to explain its position on significant issues to its members.

 

ANWAR IBRAHIM
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Thursday, September 15, 2011

Komen Prof Zainal Kling mengenai cadangan cuti umum 16 September oleh Anwar Ibrahim pada 2008

IMBAS KEMBALI

DARI ARKIB UTUSAN MALAYSIA
03/09/2008

http://t.co/HdZnmkYz

--------------------------
Ahli akademik anggap cadangan Anwar tidak relevan


Ahli akademik anggap cadangan Anwar tidak relevan

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Cadangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya 16 September diisytiharkan cuti umum tidak relevan kerana ia bermotifkan politik.

Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, cuti umum itu tidak perlu kerana selain boleh menjejaskan produktiviti ia merupakan taktik pembangkang untuk meraih sokongan rakyat.

Katanya, jika Anwar cuba 'menanam' nilai-nilai patriotik menerusi cadangan itu, ia tidak membawa makna kerana tarikh sambutan Hari Kebangsaan yang bermula 31 Ogos sehingga 16 September setiap tahun sudah memadai untuk tujuan tersebut.

Sementara itu, Prof. Mohamed Mustafa Ishak dari Universiti Utara Malaysia (UUM) menyifatkan cadangan Anwar itu sebagai gimik daripada seorang ahli politik yang ketandusan idea dan bertujuan mengalih perhatian daripada isu-isu besar.

Menurutnya, tiada apa signifikan sama ada 16 September diisytiharkan cuti umum atau tidak.

''Apakah kalau cuti, kita lebih patriotik? Tiada asas untuk kata, tidak cuti tidak patriotik. Ini lebih kepada gimik politik oleh ahli politik yang bankrap idea seperti Anwar.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.