DSAI BERSAMA AMKPP #TAWAN416!

DSAI BERSAMA AMKPP #TAWAN416!

Monday, July 11, 2011

KENYATAAN RASMI AMKPP : Selar Fitnah oleh Berita Harian!

AMKPP Kecam Penipuan Foto BERSIH 2.0
& Desak Berita Harian Minta Maaf
11 Julai 2011

Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) hari ini mengecam sekeras-kerasnya imej yang dipaparkan oleh akhbar Berita Minggu bertarikh Ahad (10 Julai 2011) bertajuk ‘KL Tegang’ dengan memaparkan imej kononnya seorang lelaki mahu merusuh dengan bersenjatakan pisau. Setelah mengkaji foto tersebut dengan teliti dan membandingkannya dengan foto asal lelaki tersebut, beliau hanya memegang bendera dan bukannya pisau.


Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) juga meluahkan kekesalan rakyat Malaysia atas tindak tanduk akhbar perdana tersebut. Di sini hanya ada dua kemungkinan, 1) pihak Berita Harian dengan sengaja mengedit gambar tersebut untuk menampakkan imej ganas peserta-peserta BERSIH 2.0 atau 2) Pihak Berita Harian hanya menyiarkan olahan grafik yang dihantar kepada mereka.

Namun, apa pun alasan yang diberikan, pihak editorial Berita Harian telah melakukan kesalahan yang besar dengan memfitnah perhimpunan aman tanpa senjata rakyat Malaysia semasa BERSIH 2.0 dan dalam masa yang sama menghasut & menakut-nakutkan rakyat Malaysia dengan suasana keganasan.

Untuk kepastian, pihak AMKPP telah meminta pandangan pakar fotografi dan juga beberapa blogger untuk mengenalpasti keaslian foto lelaki ‘berpisau’ berkenaan. Setelah membuat perbandingan dengan foto asal lelaki tersebut, nyatalah imej bendera (jalur merah putih) yang asal telah sengaja ‘dikaburkan’ dan yang tinggal hanyalah batang bendera yang turut diedit untuk menyerupai gagang sebilah pisau.


AMKPP turut mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan Berita Harian berhenti menyiarkan artikel-artikel & imej yang menimbulkan kegelisahan rakyat Malaysia. Tentu rakyat Malaysia masih ingat dengan kartun berkenaan Tsunami di Jepun yang cukup memalukan tempoh hari, yang masih lagi menimbulkan persepsi negatif dunia pada Malaysia.

Maka, dengan mengambil kira akhbar Berita Harian dengan imejnya sebagai salah satu akhbar cetak yang tertua di Malaysia dan wajar memberikan contoh kepada media-media baru, AMKPP mendesak agar pihak editorial Berita Harian supaya dengan kadar segera;

1. Menarik balik gambar & imej yang mengelirukan rakyat Malaysia tersebut

2. Memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia secara lisan & bertulis dalam laporan mereka

3. Menghentikan segera siaran sebarang foto, imej & artikel yang menimbulkan suasana tegang dan ganas di negara ini.

Justeru, dengan ini AMKPP percaya pihak editorial Berita Harian dapat secara waras dan profesional melaksanakan ketiga-tiga tuntutan ini, demi menepati garis etika kewartawanan yang tulen. Berita Harian perlu menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat, dan bukannya menjadi agen putar belit dan terus-menerus menakut-nakutkan rakyat.


AMIR GHAZALI
Ketua
Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP)

No comments:

Post a Comment