DSAI BERSAMA AMKPP #TAWAN416!

DSAI BERSAMA AMKPP #TAWAN416!

Saturday, July 23, 2011

Chon Khai Yang Saya Kenali olih Lee Yin Ting

Saya mengenali seorang kawan yang bersuara lembut tetapi ikhlas dan progresif sepanjang tiga tahun pengajian saya di universiti bersamanya. Dengan bakat yang ada padanya, sudah tentu jejaka berusia 31 tahun iu tidak akan menghadapi masalah mendapatkan Ijazah Kedoktoran Falsafah (PhD) jika beliau memilih untuk melanjutkan pengajiannya.

Kawan-kawa sekelilingnya sedar akan minatnya yang mendalam terhadap pengajian kimia, dan dia adalah murid kesayangan profesor Fakulti Kimia.

Namun, naluri telah mendorong beliau untuk melupakan cita-cita peribadi tetapi menjebakkan diri dalam kerja-kerja kemasyarakatan yang menuntut bukan sahaja perjuangan tetapi juga pengorbanan bagi menegakkan hak asasi golongan terjejas dan keadilan golongan pekerja.

Sepanjang tempoh kerja sepuluh tahunnya yang lalu, bermula dengan kerjaya dengan sebuah pertubuhan hak asasi sehingga beralih ke Parti Sosialis Malaysia, tidak pernah saya terdengar beliau menimbulkan soal ganjaran yang diberikan kepadanya.

Apa yang saya perhatikan, beliau masih menunggang motorsikal lama yang digunakannya sewaktu di universiti dulu. Pakaiannya juga tidak banyak berubah - seluar jeans yang sama dan kemeja-T dengan cetakan tema hak asasi manusia atau demokrasi. Beg usang yang digalasnya juga amat sukar boleh dijumpai lagi atau dibeli di pusat membeli-belah besar hari ini, manakala selipar yang mengalas tapak kakinya pula boleh didapati di kebanyakan pasar malam.

Pernah semasa bersembang dengannya, Chon Kai memberitahu: "Gaji saya bulan ini sudah hilang." Setelah ditanya lanjut, dia beritahu bahawa gaji yang diisi di dalam sampul surat dan terletak di pusat perkhidmatan tempat dia bekerja sudah hilang.

Pusat perkhidmatan itu selalu dikunjungi orang ramai yang datang meminta bantuan. Jadi saya tanya, "Engkau tak sebut pada siapa-siapa dan cuba tanya sama ada orang terambil?" Dia hanya memberi senyuman tawar dan mengangkat bahu sambil mengelengkan kepala.

Apa yang telah hilang baginya tidak perlu diperpanjangkan. Bagi orang sepertinya wang bukan segala-galanya.

Sesungguhnya Chon Kai cukup 'mencintai' kerjanya. Peluang berkhidmat kepada rakyat, khususnya golongan miskin dan terpinggir cukup bererti baginya. Bagi dirinya, adalah satu kejayaan jika beliau mampu meningkatkan kesedaran orang ramai dan menggerakkan proses demokrasi.

Muzik alternatif

Jejaka ini selain menghabiskan sebahagian besar masanya dalam penyelidikan sejarah pembangunan masyarakat juga gemar menulis komen tentang isu-isu semasa. Pada waktu terluang dia suka berkongsi dengan kawan-kawan tentang muzik dan wayang gambar yang bukan dari aliran utama. Di blog atau laman internet peribadinya, terdapat banyak puisi, nota pelancongan dan ulasannya tentang wayang gambar berkenaan.

Sebenarnya, dia sudahpun menjadi ahli yang aktif dalam menganjurkan anugerah kesusasteraan semasa tahun pertamanya di USM. Ketika kami bergelak tertawa dan bermain-main dalam kumpulan, dia pula menumpukan perhatian membaca buku Ling Shan atau Gunung Jiwa yang telah memenangi Hadiah Nobel dan ditulis oleh Gao Xingjian.

"Memang mengagumkan," kata kami.

Tabiat membaca tidak pernah lekang bagi Chon Kai. Pernah kami nampak dia membaca di atas motorsikalnya ketika menunggu rakan untuk dihantarnya dalam aktiviti kampus. Sedikit masa lapang yang ada akan dicurinya untuk menikmati pembacaan.

Pendedahan pengalaman sebenar dalam kerja-kerja kemasyarakatan banyak membuka matanya dan mengukuhkan pedomannya dalam menentukan hala tuju diri. Dia percaya akan masyarakat sivil dan berpendapat bahawa setiap orang mempunyai hak untuk mengejar kebebasan dan keadilan.

Dalam perhimpunan yang disertainya, besar atau kecil, dia kerap kali mengunakan kameranya untuk merakamkan wajah rakyat jelata yang sedang berjuang menuntut hak mereka. Kadang-kadang dia menghadiri persidangan antarabangsa pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atas keperluan dalam kerjanya. Ada masanya dia terpaksa menceluk saku bagi menghadiri forum hak asasi manusia yang diminatinya.

Durian Balik Pulau

Dia pernah meminta bantuan daripada kawan-kawan malalui Facebook, "Siapa boleh pinjamkan duit kepada saya untuk beli tiket kapal terbang? Saya akan pulangkan secara beransur-ansur selepas kembali dan mendapat gaji saya."

Begitulah cara beliau meninggalkan jejaknya di merata tempat di luar negeri. Dalam perjalanannya dia tidak lepaskan peluang untuk mengesan jejak perjuangan berhaluan kiri. Keberahiannya terhadap keadilan tidak pernah kurang hangatnya walaupun pada musim sejuk.

Kini, Chon Kai telah ditahan lebih 20 hari di bawah Ordinan Darurat, setiap satu hari adalah tempoh panjang yang menyeksakan! Dia dituduh cuba menghidupkan semula fahaman komunis dan menggulingkan sistem beraja.

Tuduhan yang tidak masuk akal dihamburkan dengan begitu sahaja. Ia bukan sahaja merampas kebebasan dirinya, tetapi juga meragut kasih seorang ibu tua untuk bermanja dengan anaknya itu.

Kenapa pada abad ke-21 ini, masih wujud undang-undang zalim sebegitu yang membenarkan penahanan tanpa bicara? Mengapakah masyarakat kita boleh bersabar dengan perkara yang tidak munasabah ini?

Musim durian ini mengingatkan saya tentang kawan ini yang gemar akan durian tetapi dia sedang dikurung dalam 'ruangan' yang sempit itu, malah dia dikurung secara bersendirian.

Saya berharap dia sempat menikmat beberapa ulas isi buah yang kekuning-kuningan di Balik Pulau sebelum musim durian ini berakhir
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment