DSAI BERSAMA AMKPP #TAWAN416!

DSAI BERSAMA AMKPP #TAWAN416!

Saturday, July 23, 2011

Chon Khai Yang Saya Kenali olih Lee Yin Ting

Saya mengenali seorang kawan yang bersuara lembut tetapi ikhlas dan progresif sepanjang tiga tahun pengajian saya di universiti bersamanya. Dengan bakat yang ada padanya, sudah tentu jejaka berusia 31 tahun iu tidak akan menghadapi masalah mendapatkan Ijazah Kedoktoran Falsafah (PhD) jika beliau memilih untuk melanjutkan pengajiannya.

Kawan-kawa sekelilingnya sedar akan minatnya yang mendalam terhadap pengajian kimia, dan dia adalah murid kesayangan profesor Fakulti Kimia.

Namun, naluri telah mendorong beliau untuk melupakan cita-cita peribadi tetapi menjebakkan diri dalam kerja-kerja kemasyarakatan yang menuntut bukan sahaja perjuangan tetapi juga pengorbanan bagi menegakkan hak asasi golongan terjejas dan keadilan golongan pekerja.

Sepanjang tempoh kerja sepuluh tahunnya yang lalu, bermula dengan kerjaya dengan sebuah pertubuhan hak asasi sehingga beralih ke Parti Sosialis Malaysia, tidak pernah saya terdengar beliau menimbulkan soal ganjaran yang diberikan kepadanya.

Apa yang saya perhatikan, beliau masih menunggang motorsikal lama yang digunakannya sewaktu di universiti dulu. Pakaiannya juga tidak banyak berubah - seluar jeans yang sama dan kemeja-T dengan cetakan tema hak asasi manusia atau demokrasi. Beg usang yang digalasnya juga amat sukar boleh dijumpai lagi atau dibeli di pusat membeli-belah besar hari ini, manakala selipar yang mengalas tapak kakinya pula boleh didapati di kebanyakan pasar malam.

Pernah semasa bersembang dengannya, Chon Kai memberitahu: "Gaji saya bulan ini sudah hilang." Setelah ditanya lanjut, dia beritahu bahawa gaji yang diisi di dalam sampul surat dan terletak di pusat perkhidmatan tempat dia bekerja sudah hilang.

Pusat perkhidmatan itu selalu dikunjungi orang ramai yang datang meminta bantuan. Jadi saya tanya, "Engkau tak sebut pada siapa-siapa dan cuba tanya sama ada orang terambil?" Dia hanya memberi senyuman tawar dan mengangkat bahu sambil mengelengkan kepala.

Apa yang telah hilang baginya tidak perlu diperpanjangkan. Bagi orang sepertinya wang bukan segala-galanya.

Sesungguhnya Chon Kai cukup 'mencintai' kerjanya. Peluang berkhidmat kepada rakyat, khususnya golongan miskin dan terpinggir cukup bererti baginya. Bagi dirinya, adalah satu kejayaan jika beliau mampu meningkatkan kesedaran orang ramai dan menggerakkan proses demokrasi.

Muzik alternatif

Jejaka ini selain menghabiskan sebahagian besar masanya dalam penyelidikan sejarah pembangunan masyarakat juga gemar menulis komen tentang isu-isu semasa. Pada waktu terluang dia suka berkongsi dengan kawan-kawan tentang muzik dan wayang gambar yang bukan dari aliran utama. Di blog atau laman internet peribadinya, terdapat banyak puisi, nota pelancongan dan ulasannya tentang wayang gambar berkenaan.

Sebenarnya, dia sudahpun menjadi ahli yang aktif dalam menganjurkan anugerah kesusasteraan semasa tahun pertamanya di USM. Ketika kami bergelak tertawa dan bermain-main dalam kumpulan, dia pula menumpukan perhatian membaca buku Ling Shan atau Gunung Jiwa yang telah memenangi Hadiah Nobel dan ditulis oleh Gao Xingjian.

"Memang mengagumkan," kata kami.

Tabiat membaca tidak pernah lekang bagi Chon Kai. Pernah kami nampak dia membaca di atas motorsikalnya ketika menunggu rakan untuk dihantarnya dalam aktiviti kampus. Sedikit masa lapang yang ada akan dicurinya untuk menikmati pembacaan.

Pendedahan pengalaman sebenar dalam kerja-kerja kemasyarakatan banyak membuka matanya dan mengukuhkan pedomannya dalam menentukan hala tuju diri. Dia percaya akan masyarakat sivil dan berpendapat bahawa setiap orang mempunyai hak untuk mengejar kebebasan dan keadilan.

Dalam perhimpunan yang disertainya, besar atau kecil, dia kerap kali mengunakan kameranya untuk merakamkan wajah rakyat jelata yang sedang berjuang menuntut hak mereka. Kadang-kadang dia menghadiri persidangan antarabangsa pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atas keperluan dalam kerjanya. Ada masanya dia terpaksa menceluk saku bagi menghadiri forum hak asasi manusia yang diminatinya.

Durian Balik Pulau

Dia pernah meminta bantuan daripada kawan-kawan malalui Facebook, "Siapa boleh pinjamkan duit kepada saya untuk beli tiket kapal terbang? Saya akan pulangkan secara beransur-ansur selepas kembali dan mendapat gaji saya."

Begitulah cara beliau meninggalkan jejaknya di merata tempat di luar negeri. Dalam perjalanannya dia tidak lepaskan peluang untuk mengesan jejak perjuangan berhaluan kiri. Keberahiannya terhadap keadilan tidak pernah kurang hangatnya walaupun pada musim sejuk.

Kini, Chon Kai telah ditahan lebih 20 hari di bawah Ordinan Darurat, setiap satu hari adalah tempoh panjang yang menyeksakan! Dia dituduh cuba menghidupkan semula fahaman komunis dan menggulingkan sistem beraja.

Tuduhan yang tidak masuk akal dihamburkan dengan begitu sahaja. Ia bukan sahaja merampas kebebasan dirinya, tetapi juga meragut kasih seorang ibu tua untuk bermanja dengan anaknya itu.

Kenapa pada abad ke-21 ini, masih wujud undang-undang zalim sebegitu yang membenarkan penahanan tanpa bicara? Mengapakah masyarakat kita boleh bersabar dengan perkara yang tidak munasabah ini?

Musim durian ini mengingatkan saya tentang kawan ini yang gemar akan durian tetapi dia sedang dikurung dalam 'ruangan' yang sempit itu, malah dia dikurung secara bersendirian.

Saya berharap dia sempat menikmat beberapa ulas isi buah yang kekuning-kuningan di Balik Pulau sebelum musim durian ini berakhir
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Monday, July 11, 2011

KENYATAAN RASMI AMKPP : Selar Fitnah oleh Berita Harian!

AMKPP Kecam Penipuan Foto BERSIH 2.0
& Desak Berita Harian Minta Maaf
11 Julai 2011

Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) hari ini mengecam sekeras-kerasnya imej yang dipaparkan oleh akhbar Berita Minggu bertarikh Ahad (10 Julai 2011) bertajuk ‘KL Tegang’ dengan memaparkan imej kononnya seorang lelaki mahu merusuh dengan bersenjatakan pisau. Setelah mengkaji foto tersebut dengan teliti dan membandingkannya dengan foto asal lelaki tersebut, beliau hanya memegang bendera dan bukannya pisau.


Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) juga meluahkan kekesalan rakyat Malaysia atas tindak tanduk akhbar perdana tersebut. Di sini hanya ada dua kemungkinan, 1) pihak Berita Harian dengan sengaja mengedit gambar tersebut untuk menampakkan imej ganas peserta-peserta BERSIH 2.0 atau 2) Pihak Berita Harian hanya menyiarkan olahan grafik yang dihantar kepada mereka.

Namun, apa pun alasan yang diberikan, pihak editorial Berita Harian telah melakukan kesalahan yang besar dengan memfitnah perhimpunan aman tanpa senjata rakyat Malaysia semasa BERSIH 2.0 dan dalam masa yang sama menghasut & menakut-nakutkan rakyat Malaysia dengan suasana keganasan.

Untuk kepastian, pihak AMKPP telah meminta pandangan pakar fotografi dan juga beberapa blogger untuk mengenalpasti keaslian foto lelaki ‘berpisau’ berkenaan. Setelah membuat perbandingan dengan foto asal lelaki tersebut, nyatalah imej bendera (jalur merah putih) yang asal telah sengaja ‘dikaburkan’ dan yang tinggal hanyalah batang bendera yang turut diedit untuk menyerupai gagang sebilah pisau.


AMKPP turut mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan Berita Harian berhenti menyiarkan artikel-artikel & imej yang menimbulkan kegelisahan rakyat Malaysia. Tentu rakyat Malaysia masih ingat dengan kartun berkenaan Tsunami di Jepun yang cukup memalukan tempoh hari, yang masih lagi menimbulkan persepsi negatif dunia pada Malaysia.

Maka, dengan mengambil kira akhbar Berita Harian dengan imejnya sebagai salah satu akhbar cetak yang tertua di Malaysia dan wajar memberikan contoh kepada media-media baru, AMKPP mendesak agar pihak editorial Berita Harian supaya dengan kadar segera;

1. Menarik balik gambar & imej yang mengelirukan rakyat Malaysia tersebut

2. Memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia secara lisan & bertulis dalam laporan mereka

3. Menghentikan segera siaran sebarang foto, imej & artikel yang menimbulkan suasana tegang dan ganas di negara ini.

Justeru, dengan ini AMKPP percaya pihak editorial Berita Harian dapat secara waras dan profesional melaksanakan ketiga-tiga tuntutan ini, demi menepati garis etika kewartawanan yang tulen. Berita Harian perlu menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat, dan bukannya menjadi agen putar belit dan terus-menerus menakut-nakutkan rakyat.


AMIR GHAZALI
Ketua
Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP)

Sunday, July 10, 2011

PKR: Tembak gas pemedih mata di KL Sentral 'perbuatan jenayah

DARI MALAYSIAKINI:

PKR menuduh polis bertindak 'tanpa sebarang provokasi' ke atas perarakan aman BERSIH di jalan bawah (underpass) KL Sentral.

NONE
Naib parti presidennya, N Surendran berkata mangsa tindakan tersebut termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Surendran berkata pengerusi BERSIH 2.0 Datuk S Ambiga dan sasterawan negara, Datuk A Samad Said juga turut menjadi mangsa tindakan polis itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Surendren berkata ketika kumpulan tersebut masuk ke jalan bawah tersebut, mereka dihalang oleh barisan anggota FRU yang membawa senapang gas pemedih mata.

Katanya, naib presiden PKR yang juga ahli parllimen Batu, Tian Chua kemudiannya berjalan ke arah garisan polis untuk berunding.

Bagaimanapun, dakwanya, pihak polis terus bertindak balas dengan menjerit, memukul perisai dengan belantan serta menghalakan senapang gas pemedih mata ke arah mereka.

Surendren berkata tindakan polis melepaskan tembakan gas pemedih mata ke dalam dalam ruang terkurung adalah satu perbuatan jenayah.

NONE
Tindakan ini juga boleh mengakibatkan kecederaan serius dan kematian, dan dengan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

"Kami menuntut siasatan dan pendakwaan terhadap semua pegawai kanan, termasuk Menteri Dalam Negeri, yang bertanggungjawab bagi atau memberi perintah supaya perbuatan jenayah itu dilaksanakan," kata Surendran.

"Satu Suruhanjaya Diraja Siasatan juga perlu ditubuhkan serta-merta untuk menyiasat penindasan ganas hak asasi rakyat untuk berhimpun secara bebas, oleh kerajaan BN," katanya.

Monday, July 4, 2011

KENYATAAN RASMI AMKPP : Junjung Titah SPB Agong

AMKPP Menjunjung Titah Seri Paduka Baginda YDP Agong
4 Julai 2011

Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) hari ini menyatakan taat setia dan menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Sultan Mizan al-Mukhtafi Billah Shah semalam. Sungguh ia merupakan satu titah dari baginda yang benar-benar seluruh hamba rakyat nantikan. Kami, selaku anak muda tidak akan berbelah bahagi dalam menyatakan sokongan terhadap gesaan, saranan dan nasihat Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dalam titah berkenaan.

Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) juga ingin mempersembahkan ucapan penghargaan atas keprihatinan dan pemedulian Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dalam memastikan keamanan negara kekal terpelihara, suara rakyat didengar dan nasihat baginda agar pihak berkaitan perhimpunan BERSIH 2.0, berunding demi merungkai segala permasalahan yang ada.

Dengan mengambil semangat dari titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, AMKPP menyeru agar perkara berikut dapat dilaksanakan oleh setiap individu demi memastikan keamanan dan hak rakyat bersuara terus terpelihara. Maka, AMKPP menyeru agar perkara-perkara ini perlu dilaksanakan segera;

1. AMKPP menyeru seluruh rakyat Malaysia agar memahami titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke arah Malaysia yang aman.

2. AMKPP menggesa, ‘perang mulut’ & perdebatan mengenai titah baginda ini di media massa & media elektronik seperti blog, facebook & twitter dihentikan serta-merta.

3. AMKPP menyokong penuh usul Pakatan Rakyat (PR) agar panitia penganjur Bersih 2.0 mengadap Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong bagi menjelaskan kepada baginda akan matlamat murni perhimpunan aman rakyat Malaysia pada 9 Julai ini.

4. AMKPP menyeru semua pihak, taat dan patuh pada saranan baginda agar pihak-pihak yang menutup pintu rundingan sebelum ini, terutamanya pihak PDRM & SPR kembali membuka pintu untuk perbincangan dalam menangani konflik yang berlaku.

Justeru, dengan ini AMKPP yakin dan percaya bahawasanya Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, dengan tulus mahu mendengar rintihan dan membantu menyelesaikan penderitaan yang rakyat baginda alami selama ini. Untuk itu, AMKPP dengan ini memohon untuk menjunjung kasih dan menyatakan Daulat Tuanku!


SYED MIKAEL RIZAL AIDID
Naib Ketua 1
Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang
(AMKPP)