Parti Keadilan Rakyat sangat mual dengan tingkahlaku Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak yang dilaporkan menekan Kerajaan Saudi untuk menyiasat tuduhan beliau bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim dibiayai tokoh-tokoh Saudi, sedangkan sehingga sekarang Perdana Menteri masih membisu apabila berdepan dengan desakan pelbagai pihak supaya siasatan lanjut dibuat mengenai aliran keluar wang haram sebanyak RM888 billion antara tahun 2000 dan 2008 seperti dilaporkan GFI (Global Financial Integrity) baru-baru ini.
Walaupun tindakan Perdana Menteri yang menyalahgunakan saluran diplomatik untuk kepentingan peribadi itu mengejutkan rakyat, keengganan beliau menyiasat aliran keluar wang haram sebanyak RM888 billion itu saya kira lebih mencemaskan.
Umno/BN semakin taksub dengan jalan memfitnah dan menekan lawan sebagai satu-satunya cara berdepan dengan cabaran politik dari Pakatan Rakyat. Apabila dijemput berdebat mengenai Buku Jingga, Perdana Menteri menghamburkan serangan peribadi. Di kala kebimbangan rakyat mengenai kemampuannya menghidupkan semula pelaburan swasta dan mencegah aliran wang haram sebanyak RM98 billion setahun memuncak, Perdana Menteri nampaknya lebih sibuk menyalahgunakan saluran diplomatik untuk menjaga tepi kain Ketua Pembangkang.
Laporan GFI sememangnya perlu diberi perhatian berat kerana kaedah dan data yang digunakan adalah benar dan diterimapakai di seluruh dunia. Kaedahnya adalah berdasarkan model Bank Dunia yang merujuk kepada perubahan di dalam hutang luar negara (melalui data Imbangan Pembayaran negara) untuk menentukan ketirisan wang dan modal yang tidak dilaporkan mengikut undang-undang. Ketirisan wang dan modal ini disembunyikan dari pihak berkuasa kerana ia selalunya bersabit sumber rasuah, kecurian dan pengelakan cukai. Model ini diterimapakai di seluruh dunia, maka kenyataan seorang Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa yang mempersoalkan kesahihan model ini menunjukkan kedangkalan beliau sendiri. Datanya pula adalah data rasmi yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia dari semasa ke semasa.
Oleh sebab itu, sepatutnya seorang Menteri Kewangan tidak akan tidur malam dengan pendedahan GFI itu, apatah lagi apabila statistik rasmi Bank Negara Malaysia sendiri menunjukkan angka negatif besar “Kesilapan dan Ketinggalan” dalam Imbangan Pembayaran negara yang telah berlanjutan sejak tahun 2005.
Statistik “Kesilapan dan Ketinggalan” dalam Imbangan Pembayaran negara merujuk kepada angka pengimbang bagi mengambil kira anggaran statistik dan laporan aliran wang keluar masuk yang tidak dilaporkan sepenuhnya kepada Bank Negara Malaysia. Maka, angka negatif “Kesilapan dan Ketinggalan” bermaksud sama ada aliran wang tunai keluar yang dilaporkan adalah lebih rendah dari aliran wang tunai keluar yang sebenarnya berlaku; atau aliran wang tunai masuk adalah lebih tinggi dari yang sebenarnya masuk (atau gabungan kedua-duanya).
Sejak 2005, Malaysia telah mencatatkan angka negatif “Kesilapan dan Ketinggalan” yang besar di dalam Imbangan Pembayarannya seperti berikut:
Tahun Angka negatif “Kesilapan dan Ketinggalan” dalam RM billion
2005 27.8
2006 27.4
2007 17.8
2008 29.9
2009 17.9
Sumber: Bank Negara Malaysia, November 2010
Jumlah keseluruhan kemungkinan aliran wang tunai keluar negara yang dilaporkan adalah lebih rendah dari yang sebenarnya berlaku bagi tahun 2005 hingga 2009 adalan RM120.8 billion seperti yang diakui oleh Bank Negara Malaysia sendiri. Statistik rasmi dari Kerajaan Malaysia ini selari dengan pendedahan laporan GFI mengenai jumlah aliran keluar wang haram yang mencecah puluhan billion ringgit setiap tahun.
Justeru, adalah lebih baik sekiranya Perdana Menteri menumpukan tenaganya memperbetulkan ekonomi negara dengan berbelanja secara berhemah dan bertindak segera ke atas pendedahan yang dibuat di dalam laporan GFI. Usahlah beliau menghabiskan wang negara mengunjungi negara-negara asing dan menyalahgunakan saluran diplomatik untuk menjaga tepi kain Pakatan Rakyat dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Akhirnya, fitnah Umno/BN bahawa Pakatan Rakyat menggunakan saluran antarabangsa demi kepentingan politik tidak ubah seperti meludah ke langit terkena muka sendiri; apabila Presiden Umno/BN sendiri yang sibuk memohon simpati dan bantuan antarabangsa untuk berdepan dengan Pakatan Rakyat dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI
28 JANUARI 2011
No comments:
Post a Comment