Namun sudah beberapa lama rakyat negara ini disogokkan dengan naratif sejarah yang dilakar oleh sesetengah pihak sahaja. Tujuan asal sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan disampaikan kepada generasi seterusnya ternyata menyimpang dari halatuju yang sebenarnya. Sejarah dimanipulasi demi kepentingan sesetengah pihak sahaja sekaligus menafikan perjuangan golongan lain yang bersama bertungkus lumus menentang penjajahan.
Mana mungkin, kita menafikan perjuangan tokoh-tokoh yang dilatari pelbagai faham perjuangan, baik dari gerakan Islam, aliran kiri mahupun dari aliran kanan. Mereka ini walaupun berbeda pandangan, hakikatnya punyai matlamat yang sama, iaitu mahu tanah air kita merdeka dari penjajah. Adalah suatu keangkuhan sekiranya kita menafikan sumbangan golongan tertentu menuntut kemerdekaan hanya kerana mereka tidak sehaluan dengan kita. Jikalau kita jujur berhadapan dengan sejarah, ternyata selain dari Dato' Onn dan Tunku Abdul Rahman, ramai lagi seumpama Dr Burhanuddin al Helmi, Ishak Haji Muhammad, V.T Sambathan, Tan Cheng Lock, Rosli Dhobi di Sarawak dan Mat Salleh di Sabah ternyata gigih menentang penjajahan terutamanya penjajahan British.
Tidak wajar dilupakan juga sumbangan tokoh persuratan seumpama Syed Sheh al Hadi dan Pendita Zaaba yang berusaha membina kesadaran membawa pembaharuan kepada masyarakat. Berbekalkan senjata berupa mata pena, mereka tajam menembusi tembok kelesuan yang membarah akibat dari penjajahan. Tokoh persuratan ini berhasrat membongkar mitos yang ditanam penjajah, kononnya kita tidak berupaya bebas merdeka memerintah tanah air sendiri. Jasa mereka semua wajar dikenangi dan tidak dilupakan.
Mutakhir ini, muncul suatu polemik pensejarahan yang tajam berkaitan siapa sebenarnya pejuang menuntut kemerdekaan. Akan tetapi yang dikesali polemik yang sewajarnya disusuli wacana berhasrat memahami latar perjuangan menuntut kemerdekaan, lebih banyak dibaluti mesej propaganda.
Fakta sejarah diabaikan manakala naratif sejarah terbabas dari landasan rasional sehinggakan ada mereka yang mendabik dada sebagai intelektual, kerana mahu mengampu pemerintah, menafikan negara ini pernah dijajah. Sekonyong-konyong filsafat yang disarankan filasuf Jerman, Hans Vaihinger melalui karyanya, Philosophie des Als Ob (Philosophy of As If) diterima para sarjana kita demi kepentingan penguasa. Mereka mengiyakan agar diciptakan fiksyen demi memenangkan agenda politik. Meminjam judul karya Julien Benda, perbuatan mereka yang mendabik dada sebagai intelektual itu digelar La Trahison des Clercs (Pembelotan Kaum Intelektual). Seharusnya tragedi keganasan Hitler dan aliran Nazime itu dijadikan iktibar, jangan sesekali menidakkan kebenaran kerana keserakahan agenda politik golongan tertentu.
Teguran Almarhum Profesor Syed Hussein Alatas sepertimana yang terkandung dalam karyanya Intelektual Masyarakat Membangun janganlah dikesampingkan. Intelektual atau para sarjana jangan dihinggapi penyakit "Bebalisme," suatu penyakit malas berfikir, kelesuan intelektual dan takut menyatakan yang benar. Tidaklah menjadi suatu kesalahan sekalipun, tatkala kita mengakui sumbangan Dato' Onn dan Tunku Abdul Rahman, adalah fakta sejarah sememangnya Umno itu lunak dengan pemerintahan British berbanding golongan lainnya sehinggakan pendiri Umno itu pernah menyelar Hizbul Muslimin yang didirikan antaranya oleh Almarhum Ustaz Abu Bakar Baqir sebagai "bahaya dari gunung." Karya berjudul From Malayan Union to Singapore Separation tulisan Dr. Nordin Sopiee, mantan Pengerusi ISIS, sebuah badan pemikir bagi pemerintah turut mengakui hakikat ini.
Negara kini berada di persimpangan, ketika rakyat negara ini mahu mengetahui sejarah sebenar perjuangan kemerdekaan serta berhasrat menolak dogengan ciptaan pemerintah, para sarjana dan intelektual tidak boleh lagi tinggal diam membisu. Mereka harus bingkas bangun bersama rakyat keseluruhannya menjadi penyuluh menelusuri jalan memaknai Kemerdekaan dan Membangun Negara Malaysia ini.
Antara tugas intelektual ketika ini menjadi suara menyatakan kebenaran tanpa rasa takut. Kita masyhgul apabila wacana pensejarahan menjadi medan untuk mereka yang berkuasa menunding siapa pengkhianat dan siapa yang bukan. Sewajarnya wacana pensejarahan sebegini sesuai sebagai pentas menyemak kembali fakta memperkaya pengetahuan rakyat, bukannya sebagai upaya politik murahan hatta mengenepikan hakikat sejarah. Polemik Mat Indera yang tercetus baru-baru ini menggasak pimpinan Umno bertindak balas dengan nada emosi. Retorika seumpama pengkhianat dan tidak kenang budi dicanang seluruh negara sedangkan rujukan seperti karya berjudul "Pengukir Nama Johor" terbitan Yayasan Warisan Johor serta disunting Profesor Dato' Abu Bakar A. Hamid dan Md Ismail Zam Zam itu menjelaskan Mat Indera antara mereka yang gigih menentang penjajahan British.
Janganlah pula kerana kesediaan kita menghargai kegigihan Mat Indera itu, maka dilabelkan kita sebagai mendokong agenda komunisme. Kita tuntas menolak apa sahaja bentuk fahaman yang membenarkan pemerintahan satu parti, membungkam suara mereka yang tidak sehaluan dan berlandaskan keganasan. Kita tuntas mengecam tragedi Bukit Kepong yang mengorbankan nyawa mereka yang tidak berdosa.
Sejarah menunjukkan kepada kita asakan Komunisme dapat ditewaskan lantaran kekuatan muafakat terutamanya umat Melayu termasuk Umno, PAS dan seluruh kekuatan rakyat. Maka amat dikesalkam manakala Kemerdekaan berjaya dicapai, pihak penguasa kini cuba menafikan sumbangan mereka yang sudah berkorban nyawa, keringat dan harta demi perjuangan yang mulia itu.
Berasaskan faham itulah juga memperkukuh tekad kita mahu melakukan perubahan dan menumbangkan hipokrisi pimpinan Umno-Barisan Nasional. Manakala komunisme dimomokkan sebagai pengkhianat, pimpinan Umno-Barisan Nasional tidak segan silu pula curang kepada semangat Kemderdekaan yang raih itu. Persoalannya, bagaimana kita menilai makna Kemerdekaan itu. Apakah kita sudah bebas dari segala bentuk penindasan dan kezaliman?
Tiada gunanya dicanang laungan kemerdekaan sekiranya masih ramai yang terpinggir tatkala khazanah negara dikongsi kelompok kecil yang rapat dengan penguasa. Apa makna Kemerdekaan jika Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Ordinan Darurat masih diteruskan, bahkan digunakan pula untuk memenjarakan musuh politik.
Kita rakyat Malaysia tidak mahu suatu pemerintahan yang sekadar menggantikan regim penjajah, sekadar bertukar bekas sedangkan isi dicurah dan disisihkan.
Oleh kerana itu kita tuntas menuntut agar dikembalikan Semangat Kemerdekaan dan dipenuhi pula Makna Pembentukan Negara Malaysia itu. Adalah suatu keutamaan agar negara ini senantiasa makmur, rakyatnya sejahtera, hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan terjamin serta pilihanraya umum dilaksanakan secara bebas dan adil. Moga negara ini yang sudahpun berusia 54 tahun senantiasa kekal merdeka dan rakyatnya makmur sejahtera.
Dirgahayu Negaraku Malaysia
ANWAR IBRAHIM
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment