DSAI BERSAMA AMKPP #TAWAN416!

DSAI BERSAMA AMKPP #TAWAN416!

Saturday, September 24, 2011

Isu Hudud: Penjelasan Lengkap Ucapan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Terengganu

24hb September 2011

Saya tegaskan bahawa Pakatan Rakyat merupakan suatu muafakat utuh dan berlandaskan kejujuran mahukan Perubahan buat rakyat negara Malaysia. Oleh kerana itu, isu yang menyentuh kepentingan rakyat pastinya dibincangkan bersama kesemua wakil dari parti komponen serta keputusan yang dibuat merupakan pendirian bersama. Pun demikian Pakatan Rakyat berpendirian, setiap dari parti komponen sewajarnya mempunyai ruang untuk mengungkapkan keyakinan, faham serta ideologi terutamanya kepada pendokong mereka. Saya sendiri telah merujuk ke mahkamah syariah berkaitan tuntutan qazaf, dan pimpinan Pakatan Rakyat tidak pernah pula menghalang. Hakikatnya hanya Menteri Hal Ehwal Agama Umno yang bertindak menghalang saya dari meneruskan tuntutan qazaf tersebut. Selain itu Dato' Jamil Khir terpalit dengan tuduhan bahawa beliau menggunakan dana zakat bagi membiayai kos guaman kerana tidak memulakan pendakwaan terhadap Saiful Bukhari dalam tuntutan Qazaf saya. Permuafakatan Pakatan Rakyat bukanlah suatu bentuk usahama seperti Umno-BN yang sekadar mahu mendapat laba politik sehingga menafikan hak serta suara mereka yang tidak sehaluan.

Berkaitan hasrat Negeri Kelantan mahu melaksanakan hudud, saya berpandangan kita sewajarnya menghormati keputusan tersebut, namun pastinya ia tertakluk kepada beberapa perkara. Pertamanya persoalan Maqasid al Syariah, Matlamat Utama Syariah, iaitu menjamin keadilan untuk semua. Malah dalam karya saya yang berjudul Gelombang Kebangkitan Asia, tuntas saya ungkapkan keutamaan Maqasid al Shariah demi menjamin keadilan untuk semua. Justeru adalah baik untuk kita merenung beberapa aspek perundangan syariah yang berjaya dilaksanakan di Kelantan, maka tidak wajar buat saya menempelak atau meremehkan langkah tersebut.

Sebagai seorang Muslim, pastinya saya menjunjung tinggi perintah Allah SWT serta pesan-pesan Nya yang terkandung di dalam Al Quran. Apabila ditanya, apakah pandangan saya mengenai hudud di Malaysia dan isu berkaitan undang-undang syariah serta perlaksanaannya oleh mahkamah syariah di negara ini, jawab saya, dalam konteks masyarakat Malaysia, kita semua tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Oleh kerana itu perlaksanaan hukum Islam sewajarnya mengambil kira keberkesanan pentadbiran mahkamah syariah negara ini memastikan keadilan untuk semua. Menyentuh persoalan keadilan untuk semua, perlaksanaan undang-undang syariah semestinya menjamin hak bukan Islam tidak dicerobohi serta dizalimi. Saya menasihati rakan-rakan untuk meneliti kenyataan saya ini berasaskan muafakat yang tertera dalam Buku Jingga:

"Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153."

Namun apa yang saya kesalkan adalah hipokrisi Umno-BN memperalatkan isu hudud ini sebagai permainan politik. Pimpinan Umno-BN tidak pernah berhasrat membincangkan isu ini secara tuntas dan serius. Mantan perdana menteri, Dr Mahathir menolak bulat-bulat malah mempersendakan peranan undang-undang syariah serta beberapa pesan yang dianggap sebahagian dari sunnah Rasulullah SAW. Media yang dikuasai pemerintah pula mencanangkan kononnya undang-undang syariah sebagai suatu warisan zaman primitif. Harus diingat, pandangan beberapa kerat pimpinan Umno yang mempersenda hukum Islam ini sesungguhnya tidaklah mewakili umat. Waima mutakhir ini beberapa pimpinan Umno memperlihatkan diri sebagai jagoan memperjuangkan Islam, manakala seringkali pula mereka menuduh pimpinan Pakatan Rakyat sebagai pengkhianat agama dan bangsa, sedangkan yang sering dilaung-laungkan oleh pimpinan Umno-BN sekadar retorika membakar sentimen serta sering tersasar dari kehendak syariah yang mahukan kemaslahatan untuk rakyat.

 

ANWAR IBRAHIM

 

Shorter version in English of the statement above hereby attached.

 

The implementation of hudud in the state of Kelantan must in all circumstances be subject to the maqasid al Shari'a, that is, the Higher Objectives of the Shari'a, the most paramount of which is to ensure justice for all, regardless of race, status or religion. This warrants the existence of Shari'a judges who are capable of dispensing justice without fear or favour and a Shari'a judicial system which is independent of political pressure or other kinds of influence that would impair its functions in the administration of justice.

As a Muslim, I am bound by the commandments of my religion including the injunctions as ordained in the Holy Qur'an. As I have stated before, the right to practice one's faith is a fundamental freedom that is guaranteed by the Federal Constitution. In this regard, it must be stressed that non-Muslims are and must continue to be in all circumstances exempt from the Shari'a jurisdiction. This view is perfectly consistent with the position of the Pakatan Rakyat as laid out in the Orange Book:

 "...to defend the Federal Constitution, to uphold the position of Islam as the religion of the Federation, to ensure that other religions may be professed and practiced fully, and to safeguard the special position of the Malays and the natives of Sabah and Sarawak as well as the interests of other races in line with Article 153."

We condemn the hypocrisy of UMNO and Barisan Nasional in exploiting the hudud issue for political mileage. Even more deplorable are the sinister machinations orchestrated by UMNO in attempting to stoke the fires of ethnic and religious tension by repeatedly playing up the issue in their media.

To the non-Muslim audience, they project an anti-Shari'a stance even on some occasions rubbishing it as a primitive system while to the Muslim audience; they relentlessly attack Pakatan Muslim leaders as being traitors to their religion and race by consorting with non-Muslim leaders. Without doubt these actions are part and parcel of the overall plan to drive a wedge in the Pakatan coalition and bring about internal strife and in the process hope to weaken the coalition and the chances of victory in the next elections

I would like to stress that Pakatan Rakyat is a coalition built on the principle of consensus and mutual trust and respect. We hold firm to the conviction that any issue which affects the interest of the people must be discussed frankly in a civilized manner with the objective of seeking an amicable resolution. We also believe that each and every component party of the coalition should be given its legitimate right to explain its position on significant issues to its members.

 

ANWAR IBRAHIM
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Thursday, September 15, 2011

Komen Prof Zainal Kling mengenai cadangan cuti umum 16 September oleh Anwar Ibrahim pada 2008

IMBAS KEMBALI

DARI ARKIB UTUSAN MALAYSIA
03/09/2008

http://t.co/HdZnmkYz

--------------------------
Ahli akademik anggap cadangan Anwar tidak relevan


Ahli akademik anggap cadangan Anwar tidak relevan

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Cadangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya 16 September diisytiharkan cuti umum tidak relevan kerana ia bermotifkan politik.

Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, cuti umum itu tidak perlu kerana selain boleh menjejaskan produktiviti ia merupakan taktik pembangkang untuk meraih sokongan rakyat.

Katanya, jika Anwar cuba 'menanam' nilai-nilai patriotik menerusi cadangan itu, ia tidak membawa makna kerana tarikh sambutan Hari Kebangsaan yang bermula 31 Ogos sehingga 16 September setiap tahun sudah memadai untuk tujuan tersebut.

Sementara itu, Prof. Mohamed Mustafa Ishak dari Universiti Utara Malaysia (UUM) menyifatkan cadangan Anwar itu sebagai gimik daripada seorang ahli politik yang ketandusan idea dan bertujuan mengalih perhatian daripada isu-isu besar.

Menurutnya, tiada apa signifikan sama ada 16 September diisytiharkan cuti umum atau tidak.

''Apakah kalau cuti, kita lebih patriotik? Tiada asas untuk kata, tidak cuti tidak patriotik. Ini lebih kepada gimik politik oleh ahli politik yang bankrap idea seperti Anwar.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Memaknai Kemerdekaan Menjelang Sambutan Pembentukan Negara Malaysia - Anwar Ibrahim

Kita baru sahaja menyambut ulang tahun ke 54 Kemerdekaan negara dan tinggal beberapa hari lagi rakyat negara ini akan menyambut pula Hari Malaysia pada tanggal 16hb September. Setiap kali menjelang dua sambutan yang sungguh bererti itu, kita pastinya mengambil kesempatan tersebut untuk menghimbau sejarah negara. Himbauan tersebut pada asalnya mahu menjana semangat patriotisme, keyakinan, dan kegigihan untuk berusaha membangun negara bernama Malaysia ini, yang usianya jika dibandingkan dengan negara lain, sebenarnya masih muda.

Namun sudah beberapa lama rakyat negara ini disogokkan dengan naratif sejarah yang dilakar oleh sesetengah pihak sahaja. Tujuan asal sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan disampaikan kepada generasi seterusnya ternyata menyimpang dari halatuju yang sebenarnya. Sejarah dimanipulasi demi kepentingan sesetengah pihak sahaja sekaligus menafikan perjuangan golongan lain yang bersama bertungkus lumus menentang penjajahan.

Mana mungkin, kita menafikan perjuangan tokoh-tokoh yang dilatari pelbagai faham perjuangan, baik dari gerakan Islam, aliran kiri mahupun dari aliran  kanan. Mereka ini walaupun berbeda pandangan, hakikatnya punyai matlamat yang sama, iaitu mahu tanah air kita merdeka dari penjajah. Adalah suatu keangkuhan sekiranya kita menafikan sumbangan golongan tertentu menuntut kemerdekaan hanya kerana mereka tidak sehaluan dengan kita. Jikalau kita jujur berhadapan dengan sejarah, ternyata selain dari Dato' Onn dan Tunku Abdul Rahman, ramai lagi seumpama Dr Burhanuddin al Helmi, Ishak Haji Muhammad, V.T Sambathan, Tan Cheng Lock, Rosli Dhobi di Sarawak dan Mat Salleh di Sabah ternyata gigih menentang penjajahan terutamanya penjajahan British.

Tidak wajar dilupakan juga sumbangan tokoh persuratan seumpama Syed Sheh al Hadi dan Pendita Zaaba yang berusaha membina kesadaran membawa pembaharuan kepada masyarakat. Berbekalkan senjata berupa mata pena, mereka tajam menembusi tembok kelesuan yang membarah akibat dari penjajahan. Tokoh persuratan ini berhasrat membongkar mitos yang ditanam penjajah, kononnya kita tidak berupaya bebas merdeka memerintah tanah air sendiri. Jasa mereka semua wajar dikenangi dan tidak dilupakan.

Mutakhir ini, muncul suatu polemik pensejarahan yang tajam berkaitan siapa sebenarnya pejuang menuntut kemerdekaan. Akan tetapi yang dikesali polemik yang sewajarnya disusuli wacana berhasrat memahami latar perjuangan menuntut kemerdekaan, lebih banyak dibaluti mesej propaganda.

Fakta sejarah diabaikan manakala naratif sejarah terbabas dari landasan rasional sehinggakan ada mereka yang mendabik dada sebagai intelektual, kerana mahu mengampu pemerintah, menafikan negara ini pernah dijajah. Sekonyong-konyong filsafat yang disarankan filasuf Jerman, Hans Vaihinger melalui karyanya, Philosophie des Als Ob (Philosophy of As If) diterima para sarjana kita demi kepentingan penguasa. Mereka mengiyakan agar diciptakan fiksyen demi memenangkan agenda politik. Meminjam judul karya Julien Benda, perbuatan mereka yang mendabik dada sebagai intelektual itu digelar La Trahison des Clercs (Pembelotan Kaum Intelektual).  Seharusnya tragedi keganasan Hitler dan aliran Nazime itu dijadikan iktibar, jangan sesekali menidakkan kebenaran kerana keserakahan agenda politik golongan tertentu.

Teguran Almarhum Profesor Syed Hussein Alatas sepertimana yang terkandung dalam karyanya Intelektual Masyarakat Membangun janganlah dikesampingkan.  Intelektual atau para sarjana jangan dihinggapi penyakit "Bebalisme," suatu penyakit malas berfikir, kelesuan intelektual dan takut menyatakan yang benar. Tidaklah menjadi suatu kesalahan sekalipun, tatkala kita mengakui sumbangan Dato' Onn dan Tunku Abdul Rahman, adalah fakta sejarah sememangnya Umno itu lunak dengan pemerintahan British berbanding golongan lainnya sehinggakan pendiri Umno itu pernah menyelar Hizbul Muslimin yang didirikan antaranya oleh Almarhum Ustaz Abu Bakar Baqir sebagai "bahaya dari gunung." Karya berjudul From Malayan Union to Singapore Separation tulisan Dr. Nordin Sopiee, mantan Pengerusi ISIS, sebuah badan pemikir bagi pemerintah turut mengakui hakikat ini.

Negara kini berada di persimpangan, ketika rakyat negara ini mahu mengetahui sejarah sebenar perjuangan kemerdekaan serta berhasrat menolak dogengan ciptaan pemerintah, para sarjana dan intelektual tidak boleh lagi tinggal diam membisu. Mereka harus bingkas bangun bersama rakyat keseluruhannya menjadi penyuluh menelusuri jalan memaknai Kemerdekaan dan Membangun Negara Malaysia ini.

 

Antara tugas intelektual ketika ini menjadi suara menyatakan kebenaran tanpa rasa takut. Kita masyhgul apabila wacana pensejarahan menjadi medan untuk mereka yang berkuasa menunding siapa pengkhianat dan siapa yang bukan. Sewajarnya wacana pensejarahan sebegini sesuai sebagai pentas menyemak kembali fakta memperkaya pengetahuan rakyat, bukannya sebagai upaya politik murahan hatta mengenepikan hakikat sejarah. Polemik Mat Indera yang tercetus baru-baru ini menggasak pimpinan Umno bertindak balas dengan nada emosi. Retorika seumpama pengkhianat dan tidak kenang budi dicanang seluruh negara sedangkan rujukan seperti karya berjudul "Pengukir Nama Johor" terbitan Yayasan Warisan Johor serta disunting Profesor Dato' Abu Bakar A. Hamid dan Md Ismail Zam Zam itu menjelaskan Mat Indera antara mereka yang gigih menentang penjajahan British.

Janganlah pula kerana kesediaan kita menghargai kegigihan Mat Indera itu, maka dilabelkan kita sebagai mendokong agenda komunisme. Kita tuntas menolak apa sahaja bentuk fahaman yang membenarkan pemerintahan satu parti, membungkam suara mereka yang tidak sehaluan dan berlandaskan keganasan. Kita tuntas mengecam tragedi Bukit Kepong yang mengorbankan nyawa mereka yang tidak berdosa.

Sejarah menunjukkan kepada kita asakan Komunisme dapat ditewaskan lantaran kekuatan muafakat terutamanya umat Melayu termasuk Umno, PAS dan seluruh kekuatan rakyat. Maka amat dikesalkam manakala Kemerdekaan berjaya dicapai, pihak penguasa kini cuba menafikan sumbangan mereka yang sudah berkorban nyawa, keringat dan harta demi perjuangan yang mulia itu.

Berasaskan faham itulah juga memperkukuh tekad kita mahu melakukan perubahan dan menumbangkan hipokrisi pimpinan Umno-Barisan Nasional. Manakala komunisme dimomokkan sebagai pengkhianat, pimpinan Umno-Barisan Nasional tidak segan silu pula curang kepada semangat Kemderdekaan yang raih itu. Persoalannya, bagaimana kita menilai makna Kemerdekaan itu. Apakah kita sudah bebas dari segala bentuk penindasan dan kezaliman?

Tiada gunanya dicanang laungan kemerdekaan sekiranya masih ramai yang terpinggir tatkala khazanah negara dikongsi kelompok kecil yang rapat dengan penguasa. Apa makna Kemerdekaan jika Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Ordinan Darurat masih diteruskan, bahkan digunakan pula untuk memenjarakan musuh politik.

Kita rakyat Malaysia tidak mahu suatu pemerintahan yang sekadar menggantikan regim penjajah, sekadar bertukar bekas sedangkan isi dicurah dan disisihkan.

Oleh kerana itu kita tuntas menuntut agar dikembalikan Semangat Kemerdekaan dan dipenuhi pula Makna Pembentukan Negara Malaysia itu. Adalah suatu keutamaan agar negara ini senantiasa makmur, rakyatnya sejahtera, hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan terjamin serta pilihanraya umum dilaksanakan secara bebas dan adil. Moga negara ini yang sudahpun berusia 54 tahun senantiasa kekal merdeka dan rakyatnya makmur sejahtera.

Dirgahayu Negaraku Malaysia

 

ANWAR IBRAHIM
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.