DSAI BERSAMA AMKPP #TAWAN416!

DSAI BERSAMA AMKPP #TAWAN416!

Sunday, January 31, 2010

AMK Pulau Pinang Gesa Dato’ Seri Zahrain Minta Maaf

Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang (AMKPP) mengecam kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Dato’ Seri Zahrain Mohamad Hashim, bekas Pengerusi KEADILAN Pulau Pinang yang secara terbuka mengkritik Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Lim Guan Eng dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini. Semua kenyataan beliau jika dilihat dengan teliti, adalah tidak lebih hanya kenyataan untuk meraih populariti, sarat dengan agenda peribadi dan bersifat menguntungkan pihak lawan, iaitu UMNO-Barisan Nasional.

Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang (AMKPP) juga amat kesal dengan tindakan beliau yang seolah-olah bercakap bagi pihak UMNO-Barisan Nasional, apabila setiap hujah yang diutarakan oleh beliau, seperti Ketua Menteri Pulau Pinang diktator dan chauvinis, adalah modal yang selalu dicanangkan oleh UMNO-Barisan Nasional. Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang (AMKPP) di sini juga menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang diterajui oleh YAB Tuan Lim Guan Eng, yang jelas telah banyak melakukan perubahan yang adil demi rakyat. Inilah yang amat ditakuti oleh UMNO-Barisan Nasional dan Dato’ Seri Zahrain sendiri, kerana mereka sedar kepentingan dan survival politik perkauman dan kronisme yang menguntungkan dua tiga kelompok, telah dihapuskan dengan dasar Cekap-Akauntabiliti- Telus (CAT) yang dijuarai oleh Pakatan Rakyat di negeri ini.

Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang (AMKPP) hari ini juga mengukuhkan sokongan dan ketaatan yang utuh kepada pucuk pimpinan parti, terutamanya YB Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam meneruskan agenda beliau membebaskan Malaysia dari kerakusan regim UMNO-Barisan Nasional dan dalam masa yang sama akan berjuang habis-habisan dengan semua rakan di dalam Pakatan Rakyat untuk memastikan beliau akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-7.

Justeru dengan ini, Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang (AMKPP) menegaskan agar YB Dato’ Seri Zahrain dengan segera;

1. Menarik semula semua kenyataan negatif dan pertuduhan melulu beliau dengan segera, kepada semua pimpinan Pakatan Rakyat terutamanya YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

2. Menuntut beliau supaya meminta maaf secara terbuka demi kebaikan parti & keharmonian Pakatan Rakyat.

3. Meminta kepada pucuk pimpinan parti agar segera menghadapkan beliau ke Lembaga Disiplin parti. Kami juga mahu tindakan tegas ini dijalankan segera ke atas beliau atas tindak-tanduk beliau yang mencemarkan imej parti.

AMIR HJ. GHAZALI
Ketua Angkatan Muda KeADILan
Pulau Pinang (AMKPP)

No comments:

Post a Comment