DSAI BERSAMA AMKPP #TAWAN416!

DSAI BERSAMA AMKPP #TAWAN416!

Thursday, June 16, 2011

Ke Mana Kita Dengan 'Anak Malaysia'?

Oleh Najwan Halimi

Saya fikir ada banyak isu lain yang lebih penting dan memerlukan keutamaan ketimbang gimik untuk mendaftarkan anak yang baru lahir dengan identiti bangsa 'Anak Malaysia'. Timbul juga hujah lucu, kononnya tindakan ini sebagai langkah 'awal' untuk menghapuskan politik perkauman dan diskriminasi yang diterap dalam sistem pentadbiran sedia ada.

Menjadi Melayu, Cina, India, Cindia (istilah bagi anak kacukan Cina-India), Iban dan sebagainya sebenarnya bukanlah suatu yang bermasalah meski ada kerisauan seolah-olah pengkelasan identiti kaum sebegini bakal mengundang diskriminasi dan kesukaran kepada anak tersebut di masa hadapan.

Sebetulnya yang wajar dibicara dan dipolemikkan adalah sistem yang menunjangi diskriminasi itu sendiri. Ini bukan soal 'kedudukan istimewa' Melayu atau tuntutan samarata oleh bukan Melayu, tapi yang lebih mustahak adalah – ke mana hala tuju anak-anak di negara ini jika yang diheboh-heboh oleh ibu bapa mereka masih lagi berkisar soal bangsa dan perkauman?

Asas kewujudan dan ketamadunan manusia, sejak zaman-berzaman adalah cukup jelas – yakni semuanya diidentitikan menerusi pengenalan kaum dan etnik. Ini tidak salah. Tak sama sekali. Yang menjadi masalah adalah bila mana wujud kecenderungan untuk bersifat angkuh dan ta'asub dengan identiti tersebut.

Sejarah telah mencatatkan, umpamanya dasar Apartheid di Afrika Selatan yang dikecam hebat oleh masyarakat antarabangsa yang waras. Dasar ini diwujud dan dipertahan oleh pemuka-pemuka kulit putih di Afrika Selatan bukan kerana dasar ini bagus atau hebat sebaleknya kerana wujud keangkuhan dan sifat ketuanan oleh penguasa-penguasa kulit putih ini terhadap subjek pentadbiran mereka yang majoritinya berkulit hitam. Seolah-olah berkulit hitam itu suatu kehinaan.

Maka sebaik tokoh anti-Apartheid, Nelson Mandela dibebaskan dari penjara dan menang jawatan presiden Afrika Selatan, dasar yang mendiskriminasi itu dimansuh dan dibatalkan serta merta. Pada masa sama, identiti etnik di kalangan rakyat Afrika Selatan maseh dikekalkan dan kerukunan hidup bernegara di antara warga kulit hitam dan kulit putih dipulihkan. Ini semua memerlukan iltizam politik yang tinggi dan jitu. Bukan sekadar gimik murahan dan retorik picisan.

Kitab suci turut merakamkan misalan bila mana keangkuhan dan keta'asuban pada ketuanan kaum menjadi punca krisis di kalangan makhluk Tuhan. Di dalam Al-Qur'an, pada ayat ke-61 hingga 63 dalam Surah Al-Israa' diriwayatkan kisah pengingkaran Iblis terhadap Tuhan. Kisah yang dihuraikan secara ringkas di dalam Al-Qur'an ini boleh dibaca dengan lebih terperinci di dalam kitab Injil Perjanjian Lama dalam bab Genesis.
Menurut riwayat, sebaik sahaja Tuhan selesai menciptakan Adam di syurga, telah diperintahkan agar seluruh malaikat supaya sujud sebagai tanda hormat dan memuliakan Adam selaku makhluk baru yang bakal diangkat sebagai khalifah di Bumi. Para malaikat taat dan patuh namun terdapat satu makhluk bernama Iblis yang enggan menuruti arahan tersebut. Iblis bersoal jawab dengan Tuhan dan berhujah mempertahankan tindakannya tidak mahu sujud kepada Adam.

Dengan penuh angkuh, Iblis mendakwa adalah tidak layak bagi dirinya untuk sujud dan memuliakan Adam memandangkan dia (Iblis) dicipta daripada unsur api sedangkan Adam dicipta dengan unsur tanah. Arakian Iblis mendakwa dirinya lebih mulia dan tinggi darjat ketimbang Adam. Kesan daripada keangkuhan dan sifat ta'asub terhadap unsur kejadiannya itu, maka Tuhan mengusir Iblis keluar dari syurga dan digolongkan oleh Tuhan sebagai kafir.

Justeru, soal pendaftaran bangsa anak dengan nama 'anak Malaysia' ini sewajarnya tidak dibingkaikan dalam gimik sebegitu. Apa yang lebih penting adalah komitmen dan dedikasi semua terutamanya pimpinan politik, aktivis sosial dan gerakan massa untuk mendobrak sistem sedia ada yang bersifat diskriminatif dan tidak lagi relevan dalam lanskap sosio-politik negara masa kini.

Tidak kira sama ada anak-anak kita memakai nama bangsa Melayu, Cina, India dan sebagainya, apa yang mustahak adalah dengan mengajar dan mendidik mereka bahawa semua bangsa tak kira dari negara atau wilayah mana adalah sama tarafnya di sisi Tuhan. Jangan sekali-kali kita benarkan sifat angkuh dan naluri ketuanan kaum menguasai minda mereka demi menjamin kerukunan hidup di negara ini.

Polemik 'Anak Malaysia' tidak akan membawa kita ke mana-mana. Yang harus diperjuangkan adalah reformasi sistem supaya ianya menjadi lebih baik dan memberdayakan. Diskriminasi tidak akan lenyap hanya dengan menghapuskan identiti kaum semata-mata. Sejarah telah pun membuktikannya.


Esei ini diterbitkan buat kali pertama di laman jalantelawi.com pada 9 Jun 201
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tuesday, June 14, 2011

Burton Si Inggeris | JalanTelawi.com

oleh Eekmal Ahmad, dipetik dari Jalan Telawi.com



Sir Richard Francis Burton (1821-1890) adalah seorang pengembara, penterjemah, penulis, askar, penyair, orientalis, etnologis, ahli bahasa dan diplomat Inggeris.

S

ukar membayangkan kekecewaan Hannah Yeoh dan suaminya apabila gagal mendaftarkan anak mereka sebagai “anak Malaysia.” Anak itu adalah saksi kepada cinta dan harapan, dua perkataan yang sering berjalan seiring. Kerana itu siapa sahaja yang cuba merasakan bagaimana kekecewaan kedua ibu bapa tersebut, pasti menemui kegagalan.

Mana mungkin yang sekadar berat mata memandang punyai beban sama dengan bahu yang memikul. Pun begitu tidaklah salah memahami kekecewaan itu. Hannah dan suami pada pandangan saya bukan mahu berpolitik, apatah demi anak mereka, apa yang mereka mahu anak ini tidak lagi dianggap sebagai warganegara kelas kedua, orang asing di bumi sendiri.

Saya kira ramai kebingungan, seperti juga Hannah seorang Cina dan Ram berketurunan India, mengapa ada di antara kita yang lahir di bumi bertuah ini masih dianggap “asing”? Saya menggunakan “kita” memperihalkan Hannah, Ram dan saya kerana sebagai rakyat Malaysia, tiada beza antara kami. Saya sungguhpun berketurunan Melayu, tidak lebih penting dari Ram, Hannah mahupun anak mereka itu. Sebagai warganegara atau rakyat Malaysia, kami setara.

Maka setara, sama dan tidak ada perbezaan antara satu ras dengan yang lain menjadi permasalahan. Sekian lama istilah dan makna menjadi mainan politik, lebih malangnya apabila politik itu saban hari semboyannya adalah perkauman sempit. Kerana itu “setara” dan “sama” bukanlah istilah kegemaran, istilah seumpama itu mencabar naratif politik usang, naratif politik pemerintah.

Bagi pemerintah, kekuatan mereka itu diperolehi kerana kaum, atau lebih tepat dengan “memisah-misah” kaum itu. Justeru ada yang berpendapat yang “dipisah-pisah” itu lawannya bukan sahaja dengan “setara” akan tetapi juga dengan “bersatu.” Tidak hairanlah selepas itu ada yang menyeru, segera dengan projek negara bangsa yang dikenal sebagai “Bangsa Malaysia.” Suatu projek gah pada nama. Yang akhirnya pasti tidak lepas dari makna “demi untuk bersatu.”

Akan tetapi naïf-lah kita jika tidak sadar “bersatu” pun sudah lama diberatkan dengan makna politik, sudah lama menjadi senjata aktor politik. Cuba tanyakan kepada mereka yang menentang kezaliman pemerintah di seluruh pelusuk dunia, beberapa kali perjuangan mereka tewas atau terbantut kerana seruan untuk bersatu? Atau cuba tanyakan berapa kalikah mereka menangis kerana rakan seperjuangan, selepas berjaya diangkat menjadi “Pemimpin Revolusi” mengkhianati dan kemudiannya menggunakan senjata “bersatu” itu untuk menikam mereka?

Barangkali sajak Rendra ini boleh direnungi:

Dan kau Dasima,

Khabarkan pada rakyat,

Bagaimana para pemimpin revolusi,

Secara bergiliran memelukmu,

Bicara tentang kemakmuran rakyat dan api revolusi,

Sambil celananya basah,

Dan tubuhnya lemas,

Terkapai disampingmu.

Jangan salah sangka, saya tidak membabi buta menentang sebuah persatuan. Saya menentang apabila “bersatu” yang dianggap antidot kepada “pemisahan,” digunakan pula untuk membungkam suara yang terus mengkritik, menjahanamkan setiap percanggahan pandangan dan menganggap kepelbagaian sebagai suatu kelemahan. Jangan terkeliru antara “pemisahan” dengan “kepelbagaian.” Sementara “pemisahan” punya maksud seperti jurang yang semakin dalam, “kepelbagaian” hadir dengan makna “saling menghormati.”

Kerana itu saya memilih untuk menukilkan perihal seorang manusia Inggeris bernama Richard Francis Burton. Pengembara ulung yang mahu jadi seorang Kosmopolit, seorang warga dunia.

Richard Burton bukan sahaja fasih bahasa-bahasa Eropah seumpama Bearnais, yang lebih menakjubkan pada umur 21 tahun, tatkala bekerja untuk Syarikat Hindia Timur di Sindh, beliau malah menguasai Gujarati, Marathi, Afghan, Parsi dan Bahasa Arab.

P

ada tahun 1853, Richard Burton, menyamar sebagai seorang Pathan, pastinya dibantu kebolehan bertutur dengan pelbagai bahasa itu berjaya “menunaikan” haji di Mekah serta menziarahi pula kota Madinah.

Kehebatan Burton menguasai pelbagai bahasa sudah pasti melayakkannya sebagai salah seorang Kosmopolit ulung, namun kehebatan manusia Inggeris ini yang lahir dari sebuah empayar yang waktu itu sibuk menjajah Negara-negara Asia termasuk salah satu nya kemudian dikenali sebagai Malaysia tidak terhenti sekadar itu sahaja. Burton lah yang memahsyurkan karya Karmasutra, Riyadul Attar (The Perfumed Garden) dan Hikayat 1001 Malam apabila menterjemahkan kitab -kitab tersebut dari bahasa asalnya ke Bahasa Inggeris.

Apakah Burton tidak punya prasangka serta prejudis seorang Inggeris tatkala itu? Jawapannya ya, Burton punyai prejudis seorang Inggeris waktu itu, namun kekagumannya terhadap budaya serta manusia yang bukan sebangsa dengannya jauh mengatasi prasangkanya. Kerana itu tidak berlebihan kiranya pada pandangan saya Richard Burton boleh lah dianggap Bapa Kosmopolitan Moden buat kita. Kerana Burton mengajar kita secara sengaja atau tidak, asas awal faham Kosmopolitanisme itu, bermula dengan kenal mengenal dengan rasa hormat menghormati antara satu sama lain.

“Cliche” mendengar ungkapan kenal mengenal dengan rasa hormat menghormati? Namun ungkapan yang sering didengar dan diulang inilah yang gagal ditanggapi. Kosmopolitan terutamanya di kalangan kita sekadar mashyur kerana adanya majalah “lifestyle” dengan judul yang sama. Lebih membingungkan “lifestyle” Kosmopolitan itu lebih terkait dengan cara hidup komersial berbanding berusaha mengatasi prasangka, prejudis dan meraikan kemajmukan budaya antara kita. Jangan salah sangka, bukannya saya menentang majalah tersebut atau kandungannya cuma seorang Kosmopolit tidak semestinya menikmati fois gras di Frangipani, membeli roti di The Loaf atau memilih pakaian dari butik The Emperor’s New Clothes.

Percayalah ramai dari mereka yang ke sana tidak mampu pun menanggung makna Kosmopolitan. Dan janganlah terkejut jika seorang imam tua di surau usang di tepi sawah atau seorang Tiong Hua lanjut usia yang masih gigih mengusahakan kebun sayurnya lebih berupaya meraikan Kosmpolitanisme berbanding anak muda yang asyik dengan teknologi seumpama iPad serta Androidnya.

Tidakkah ironi, zaman teknologi yang membuka ruang seluas luasnya buat anak muda menghadam maklumat sebanyak banyaknya masih gagal mengolah pemikiran mereka untuk mulai berkomunikasi dengan yang “asing” dari mereka. Perhatikan lah, bagaimana ada antara kita bahkan terasa janggal apabila secara tiba-tiba berada dalam lif bersama mereka bukan dari ras yang sama. Malah untuk mengukir senyuman pun kita terasa berat. Bukankah mudah sebenarnya untuk bertanyakan khabar dan mengukir senyuman? Mengapa terasa terlalu terasing?

Apabila saya mengisahkan tentang Richard Burton sebagai sosok utama seorang kosmopolit, bukannya saya tidak mengakui ketidaksempurnaan beliau. Hakikatnya Burton lahir dari lingkungan sebuah empayar yang masih berpengaruh membentuk bagaimana dia memperihalkan sekelilingnya. Akan tetapi meneliti catatan pengalaman, terjemahan serta kisah mengenai beliau, kita sedar Burton berusaha kuat meruntuhkan tembok yang memisahkan antara dia dan “mereka,” antara yang dijajah dengan “penjajah” antara Timur dan Barat, antara yang bertamadun dan yang gasar.

Richard Burton sedar jurang antara dia dan mereka yang lain, namun bukanlah suatu yang mustahil merapatkan perbedaan tersebut. Dan tatkala itu Burton tidak mempunyai Twitter serta Facebook mahupun internet untuk beliau berkomunikasi. Kekaguman beliau terhadap kebudayaan mereka yang lain darinya, membuatkan rakan-rakan Burton tertanya sama ada Burton itu masih seorang Inggeris atau tidak. Jawapannya pasti ya, Burton masih seorang Inggeris namun beliau juga “anak dunia” yang sudah jauh mengembara ke seluruh pelusuk bumi. Perbedaan bagi Burton bukanlah penyebab kepada penindasan mahupun perkauman sempit, malah kepelbagaian adalah untuk suatu yang diraikan.

Maka tidak hairanlah apabila Burton mengungkapkan bait qasidah ini, seolah olah memperihal kan dirinya:

There is no Good, there is no Bad;

These be the whims of the mortal will …

Jelas sekurang-kurangnya buat saya, apabila merenung bait itu maka terbayangkan betapa Burton sedang bergulat membongkarikatan-ikatan yang membelenggu pemikirannya. Bukannya ikatan seorang “Inggeris” akan tetapi ikatan sebuah “Empayar Inggeris” yang mahu semuanya “bersatu” di bawah naungan Sang Ratu. Hanya belenggu penjajahan yang melihat yang dijajah sebagai orang gasar atau biadap. Akan tetapi Burton Si Inggeris tidak, dia malah takjub dan tenggelam dengan Kepelbagaian.

Kerana itu saya mengganggap wacana Kosmopolitan itu suatu agenda yang mendesak. Ianya membentuk sikap kita terhadap kepelbagaian di sekeliling dan pada masa yang sama meraikan identiti yang membaluti diri sendiri. Pengertian mudahnya, anda menolak perkauman sempit, anda menolak sebarang bentuk penindasan berasaskan perkauman dan pada masa yang sama tidak goyah keyakinan anda dengan ras serta identiti anda sendiri.

Ya! Sebagai seorang kosmopolit, anda tidak perlu membuang jatidiri anda, ras anda, identiti anda. Seorang kosmopolit tuntas mengakar jauh ke dalam jatidiri yang sebenar. Adalah tidak mustahil saya seorang Melayu, seorang Islam, seorang rakyat Malaysia juga merupakan seorang kosmopolit, seorang “Warga Dunia” ini.

Eekmal Ahmad, sering menemukan ketenangan di antara rak-rak buku Kinokuniya. Sekarang berkerja sebagai penyelaras media kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Avatar Video Seks


OLEH HASMI BIN HASHIM

“If they can make Avatar, they can make every thing”. ~ Dr Mahathir Mohamad.

Kata-kata itu tak kosong. Ia adalah sebuah keyakinan hati mantan perdana menteri ke-4. Samalah ketika ditanya apa yang beliau mahu selepas melepas jawatan Perdana Menteri, dengan nada seloroh dan jenaka katanya, “saya nak jadi Agong, mereka tak kasi”.

Dari kaca mata politik-kekuasaan, itu bukan jenaka—walaupun nadanya terdengar seperti mudah dan seloroh. Maka, “Avatar” yang dimaksudkan Dr Mahathir seolah-olah apa sahaja gambaran dapat dibuat—termasuk, tentu sahaja, video seks yang pelakonnya menyamai wajah sesiapa sahaja. Termasuk wajah Anwar Ibrahim.

Anwar tetap musuh nombor satu beliau. Sekali Dr Mahathir pernah coba menyekat Anwar daripada menjadi perdana menteri; tak ada alasan untuk beliau dengan mudah melepaskan Anwar pada mana-mana waktu. Meskipun selepas beliau berundur daripada jawatan PM, ia bukan sebab untuk tidak terus menyerang Anwar.

Kemarahan terbesar Mahathir kepada Abdullah Badawi, dalam pengamatan saya, bukanlah kerana Barisan Nasional (BN) hilang banyak kerusi di dalam Pilihanraya Umum ke-12. Di bawah kritikan mendesak Abdullah berundur, tentulah kerana Abdullah dilihat ‘membebaskan’ Anwar.

Apabila Anwar bebas, maka oposisi terpandu untuk kembali mengejar jejak ke Putrajaya. Inilah yang paling ditakuti Dr Mahathir. Beliau tanpa sedar atau tidak, pernah mengakui akan lari dan tinggal di luar negara kalau Anwar berjaya menjadi perdana menteri.

Ternyata, walaupun selepas Dr Mahathir berundur daripada jawatan PM, kerja politik beliau tidak terhentikan. Beliau masih coba aktif mengatur itu-ini. Orang-orangnya masih ramai. Kepentingan dan sumber ekonomi yang mahu beliau pertahan, tetap sahaja banyak. Sementara di dalam diam-diam, timbul nama Shazryl Eskay Abdullah—seorang yang pernah mempunyai kepentingan langsung terhadap projek Jambatan Bengkok.

Apakah kita lupa bagaimana projek Jambatan Bengkok adalah antara projek emas Dr Mahathir. Di sinilah hubungan antara Dr Mahathir-dengan-Eskay yang tak dapat disembunyikan. Watak-watak lain di dalam drama pendedahan video seks yang didedahkan Eskay juga punya hubungan terus dengan Dr Mahathir. Terutamanya Rahim Tamby Chik, mantan Ketua Menteri Melaka.

Rahim, malah di dalam satu kenyataannya menyebutkan bagaimana beliau percaya karier politiknya dahulu pernah dibinasakan oleh Anwar yang ketika itu adalah Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri. Rahim sendiri mengakui beliau bertanya kepada Dr Mahathir, apakah Dr Mahathir yang menyebabkan kes “rogol budak bawah umur” dibawa ke mahkamah? Khabarnya Dr Mahathir menafikan. Lalu menuduh ia disebabkan Anwar. Rahim konon-kononnya percaya sehingga ramai sekali orang percaya hal itu, langkah Rahim kali ini tak lebih hanya untuk membalas dendam terhadap Anwar.

Di dalam riuh-riuh kes video seks, terdengar pula nama Shuib Lazim. Beliau adalah orang kuat Perkasa. Jawatannya penting iaitu sebagai Bendahari Agung. Maka dengan mudah kita bisa faham bagaimana Perkasa tak lain adalah sebuah “kenderaan politik” Dr Mahathir. Tak hairan juga bagaimana Perkasa jadi antara pehak yang paling banyak membuat komen terhadap video seks berkenaan melalui presidennya, Ibrahim Ali.

Begini, konspirasi tetap konspirasi. Hal “perut boroi” jadi kantoi sehingga menimbulkan pertanyaan meluas apakah benar pelaku di dalam video berkenaan adalah tulen Anwar? Polis melalui Timbalan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar hanya berani menyebutkan bahawa video itu tulen, tetapi tak berani menyatakan bahawa Anwar-lah pelaku di dalam video yang kemudiannya tersebar meluas di Youtube.

Alasannya ialah tak ada keperluan undang-undang untuk mendedahkan lelaki pelakunya—sedangkan beliau terlupa, apakah ada peruntukan undang-undang untuk menyatakan video itu tulen atau tidak?

Keadaan ini hanya menimbulkan satu lagi keraguan. Melihat pengalaman dua kali fitnah yang dilempar ke atas Anwar, pehak polis sebelum ini begitu tangkas untuk bertindak—meskipun banyak tindakan polis bukan sesuatu yang mengikut lunas undang-undang.

Sebagai contoh, serbuan segera yang dibuat di rumah Anwar pada malam 20 September 1998; apakah sepenuhnya mengikut undang-undang? Begitu juga tangkapan kali kedua terhadap Anwar di hadapan simpang rumah beliau di Bukit Segambut—selepas Saiful Bukhari membuat aduan konon beliau diliwat—juga sangat jauh daripada mengikut undang-undang.

Lantaran itu, ‘kelembapan’ polis bertindak kali ini menunjukkan bagaimana sesungguhnya Polis juga tahu apakah pelaku di dalam video berkenaan bernar-benar Anwar atau tidak. Arakian langkah tidak mengumumkan pelakunya hanya meninggalkan persepsi negatif di dalam fikiran masyarakat (khususnya orang Melayu) terhadap Anwar.

Dalam kata mudah, orang Melayu khususnya di luar bandar yang susah mendapat maklumat barangkali telah menyakini bahawa pelaku seks itu adalah Anwar. Sebab itu kes ini adalah kes politik. Sebab itu tindakan pehak polis, khususnya Khalid sendiri boleh ditafsir juga sebagai “langkah politik” yang telah memenangkan sang konspirator dan pemerintah Umno-BN.

Gelanggang politik Malaysia bukanlah sebuah gelanggang yang terlalu besar dengan para pemain utama terlalu ramai. Balik-balik orang itu, orang itu jugalah. Lantas, adalah sesuatu yang sangat mustahil apabila seorang perdana menteri, seperti Najib Razak tidak mengetahui lebih awal mengenai sebuah rakaman video seks yang dikatakan melibatkan musuh politik nombor satu beliau sendiri.

Ya, seperti kata Dr Mahathir, “kalau Amerika boleh buat [filem] Avatar,” apa sahaja boleh dibuat secara visual dan filem. Untuk membentuk wajah Anwar sedang melakukan hubungan dengan seorang wanita (dikatakan pelacur) Cina, bukanlah terlalu sukar. Belanjanya juga bukanlah terlalu mahal, dan tak perlu dibuat sampai ke Hollywood.

Saya tak fikir Najib tak tahu semua ini—tapi untuk mudah-mudah lepas tangan kononnya beliau ‘bersih’ tak terlibat, dan kononnya Umno juga tak ada kena -mengena di dalam komplot kali ini adalah satu kenyataan hipokrit. Lebih-lebih lagi, hari pertama video itu mahu ditayang; ia ditayangkan kepada editor-editor kanan media perdana—orang yang tentu sahaja mempunyai hubungan terus dengan HP dan emel Najib.

Sejak era Dr Mahathir sebagai PM, Najib bukanlah seorang menteri yang bersarang idea yang lebih hebat daripada Dr Mahathir. Najib selalunya menurut sahaja apa kehendak Dr Mahathir. Lalu, tidak mustahil untuk Najib sekali ini memberi restu kepada sebuah rakaman video fitnah yang sudah siap dibuat untuk dipublikkan seraya apa yang beliau perlu katakan cukup mudah, iaitu “Umno tak terlibat”.

Namun kata-kata sedemikian tidak semestinya dapat membersihkan Umno daripada dosa yang maha besar. Dalam arti kata lain, kerosakan selepas lebih sedekad, dengan konspirasi demi konspirasi menjadikan orang Melayu dalam tak sedar telah belajar berbohong. Melihat pembohongan sebagai sesuatu yang seakan-akan diizinkan demi mencapai matlamat apapun. Termasuklah matlamat politik.

Media milik Umno, khususnya Utusan Malaysia juga dilihat tidak memainkan isu ini cukup kuat. Andailah memang pelakunya Anwar, kita yakin Utusan akan mencetak foto petikan video berkenaan saban hari di muka surat depan, di samping tak perlu bersusah payah mengalih isu kepada isu sumpah.

Belum pernah di dalam kehidupan budaya orang Melayu, sebegini bobrok dan hodohnya digambarkan wajah tamadun bangsa Melayu. Inilah dosa besar dua pimpinan Umno, iaitu Dr Mahathir dan Najib di mana mereka boleh dikatakan sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan kuasa.

Itu mereka punya pasal. Orang Melayu sendiri sesungguhnya harus menolak amalan politik ala Mahathir-Najib ini. Kita tidak boleh lagi mendiamkan diri dan menerima fitnah sebagai satu amalan biasa politik. Memang tak ada lagi alasan untuk menerima Umno yang ternyata telah merosakkan akal-budi bangsa sampai ke tahap ini.

Menolak Umno buat sekali ini berarti menyelamatkan bukan sahaja negeri, malah menyelamatkan bangsa daripada terus binasa; tenggelam dengan fitnah—sepertimana sebelum ini Tuhan menghancurkan bangsa-bangsa yang menjadi fitnah sebagai sebahagian daripada makanan harian mereka.

Saya percaya, Melayu tidaklah selemah itu.

Wednesday, June 8, 2011

SIARAN MEDIA : BERSIH 2.0; AMKPP akan hantar 1000 Orang Ahli

9 JUN 2011

Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) hari ini menyatakan sokongan penuh kepada Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) untuk mengadakan perhimpunan aman pada 9 Julai ini. Ini adalah merupakan manifestasi ikhlas dari rakyat marhaen untuk menyampaikan suara & hasrat kepada Kerajaan dan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong.

Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) juga sebulat suara menyokong penuh 8 tuntutan yang digariskan oleh BERSIH untuk disuarakan semasa perhimpunan aman tersebut, iaitu; Pembersihan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, akses media bebas & adil, masa berkempen minima 21 hari, pengukuhan institusi awam, hentikan rasuah & hentikan politik kotor.

Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) percaya memang mustahil untuk pihak Polis memberi kebenaran untuk perhimpunan aman yang besar seperti ini. Cuma suka kami ingatkan agar pihak Polis menghormati kebebasan bersuara di negara ini, kerana dengan terlaksananya 8 tuntutan BERSIH 2.0, manfaatnya akan melahirkan sebuah kerajaan beramanah, yang turut memberi manfaat kepada rakyat dan tak terkecuali, pihak Polis juga.

Justeru, Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) menyeru agar pihak Polis akan menggunakan pertimbangan yang waras dalam ‘mengawal’ perhimpunan itu kelak. Kerana BERSIH 2.0 adalah perhimpunan aman yang ikhlas, tanpa keganasan, tanpa senjata dan hanya berbekalkan keberanian dan semangat untuk melihat sebuah negara yang lebih aman.

Oleh itu, demi untuk memberikan sokongan penuh kepada inisiatif murni ini, Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) akan menghantar 1,000 orang ahli AMKPP dari seluruh Pulau Pinang ke Kuala Lumpur pada 9 Julai ini. Semoga penyertaan 1,000 orang anak muda dari negeri ini yang datang sendiri ke Kuala Lumpur tanpa ‘dibayar’ atau ‘ditaja’ oleh mana-mana pihak, bakal menyemarakkan lagi perhimpunan demi demokrasi tulen tersebut.

Salam Reformasi

SYED MIKAEL RIZAL AIDID
Naib Ketua 1
Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP)

SIARAN MEDIA : PILIHANRAYA MASJID; Kenapa UMNO Macam Cacing Kepanasan?

9 JUN 2011

Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) mengadakan sidang media ini adalah untuk menyanggah tuduhan UMNO yang menuduh DAP ingin mencampuri urusan agama Islam negeri, kedua tentang sokongan penuh AMKPP terhadap pilihanraya Masjid & ketiga; cadangan penambahbaikan dari pihak kami.

Pertamanya, Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) menyanggah sekeras-kerasnya tuduhan liar yang dilempar oleh pihak UMNO yang mengatakan DAP memecah belah perpaduan umat Melayu Islam dengan masuk campur dalam urusan agama Islam di negeri ini, khususnya Masjid. Tegas kami nyatakan di sini, inisiatif untuk mengadakan pemilihan jawatankuasa pentadbiran Masjid di negeri ini sudah diatur awal dengan melibatkan persetujuan bersama di antara Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Agama dengan pelbagai pihak termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Justeru kami menyeru agar umat Islam di negeri ini tidak terpedaya dengan fitnah terbaru UMNO ini, kerana jelas pilihanraya Masjid yang dicadangkan hanya melibatkan entiti-entiti yang berkaitan dengan agama Islam di negeri ini sahaja, dan tidak langsung melibatkan Parti DAP, apatah lagi entiti non-muslim yang lain.

Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) juga menyedari tindakan UMNO yang ‘menggelupur’ macam cacing kepanasan itu adalah kerana mereka tidak mahu institusi yang selama ini berada di bawah lingkungan pengaruh mereka itu, dikembalikan kepada umat dan anak kariah tempatan. Dan dalam masa yang sama, mereka cukup takut kerana bakal gagal dalam pemilihan ini, berikutan amalan ‘klasik’ selama ini yang diamalkan secara pilih kasih, atau pilihan berdasarkan mereka yang pro-UMNO sahaja.

Justeru, Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) ingin menyatakan sokongan penuh kami terhadap inisiatif yang murni & yang pertama kali dijalankan di negara ini. Ini adalah kerana objektif pemilihan adalah untuk mengembalikan semula kuasa memilih Jawatankuasa Pentadbiran masjid, kepada anak kariah tempatan. Dan usaha ini juga bakal memastikan Masjid dibebaskan dari kongkongan UMNO yang menjadikan Masjid seperti milik mereka, walhal kebanyakan masjid di bawah kekuasaan mereka selama ini, sebenarnya lesu dan tidak aktif.

Justeru, demi memperkemaskan lagi Pemilihan Masjid yang bakal berlangsung ini, pihak AMKPP ingin mencadang agar satu ‘sistem database’ maklumat ahli kariah diperkenalkan untuk memberi kuasa penuh hanya kepada anak kariah yang sudah bermastautin 3 bulan ke atas di satu-satu kariah itu layak untuk mengundi.

Semoga Pilihanraya Masjid yang bakal berlangsung bermula minggu depan dapat mengembalikan Masjid-masjid di negeri kembali ke pangkuan umat untuk dijaga, diurus dan dimakmurkan oleh mereka yang beramanah & berwibawa.













Salam Reformasi

AMIR GHAZALI
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP)

Monday, May 16, 2011

Pinokio


olih Hasmi Hashim, dipetik dari JalanTelawi.com

Di sini tak ada terror. Tidak seperti di negeri-negeri yang kekuasaannya diperoleh dan tukar-ganti dengan hujung senjata. Peluru dan pedang, di sini tumpul.

Ada cerita lain.

Iaitu di sini kekuasaan digerak-tampilkan dengan sensasi. Misalnya dengan sumpah, dengan kata-kata. Dengan sidang-sidang media, yang menyelongkar dan membentang soal peribadi orang: peribadi musuh. Seks telah mengambil posisi sebagai pertimbangan politik paling kurang sejak lebih sedekad lalu.

Sejak 1997, 98. Bila mana Anwar Ibrahim diseret dengan tuduhan liwat.

Selepas Pilihanraya Umum 2008, pengakuan seorang lagi berhubung hal liwat—kes yang dilihat semakin rapuh dengan kepincangan pejabat Peguam Negara. Ya, lepas satu, satu. Sampai satu lagi: penyebaran video aksi seks.

Kronologi ini membuktikan bagaimana, seks punya peran penting di dalam politik Malaysia. “Moral” dikaitkan dengan seks. “Moral” tak ditafsir pada, misalnya soal tanggungjawab kepimpinan. Sebab apa, agaknya? Sebab, sebelum 1998 pun, politisi kita sudah gemar menjaja soal moral yang jelek untuk meraih sokongan mudah.

Saya sangat ingat, macam mana dua rockers dipotong rambutnya, Amy (Search) dan Awie (Wings) yang dikatakan tidak bermoral. Sebab—berambut panjang. Tidak lain hanya karena ini. Dan serangan psikologi itu, sampai menyebabkan sang penyanyi seakan percaya, memang mereka tak bermoral. Amy dan Awie pun menyerahkan tengkok mereka untuk dipotong oleh Menteri yang jaga TV dan Radio, Mohamad Rahmat.

Ini contoh kecil. Contoh bagaimana perihal moral yang songsang, dimanipulasi. Diputar-mataruntuk dijadikan senjata politik—sampai hari ini pendedahan video seks yang cukup untuk memalukan Anwar—seolah-olah, kita dapat apa yang kita buat dan kita izinkan gaya politik sedemikian berlaku. Sekian lama.

Sebab itu, saya teringat Pinokio. Saya teringat hidungnya yang akan panjang bila dia bercakap bohong.

Pinokio ‘anak’ si tukang ukir, encik Geppetto: orang tua bengis. Dia mengukir boneka Pinokio sehingga ‘sang anak’ menuntut nyawa. Pinokio diberi separuh nyawa. Tidak penuh. Dia belum boleh menjadi sepenuhnya manusia. Macam kanak-kanak lain. Pinokio harus melalui beberapa pra-syarat iaitu, dia tak boleh berbohong untuk mempercepatkan dia memperolehi nyawa dan jadi manusia.

Kisah kanak-kanak ini terkenal sebagai “The Adventures of Pinocchio”. Ditulis awal abad 19 oleh Carlo Collodi, orang Itali.

Tentu sahaja kita membayangkan wajah Collodi dengan wajah sebagai seorang pelawak. Dengan hidup sehari-harinya dengan kanak-kanak untuk memahami imaginasi kanak-kanak. Kalau begitu, bayangan dan sangkaan kita terhadap lelaki botak dan berjanggut ini, salah.

Kisah kanak-kanak selalu punya kritik politik dan komentar sosial. Semacam novel “Animal Farm” (oleh George Orwell) sampailah watak “Tom and Jerry” rekaan William Hanna dan Joseph Barbera. Ia bukan sahaja mengandung pesan moral, tetapi juga kritik sosial yang tajam. Meresap dalam kalbu kanak-kanak sebagai bekal mereka mendewasa, kelak.

Sebab Collodi sebelumnya, sebelum dia menuliskan perihal Pinokio, dia terlibat langsung dengan politik-kekuasaan sehinggakan surat khabar yang ia terbitkan, Il Lampione pernah digantung haram.

Satira bergerak apabila politik sudah tepu dan kusut-serabai. Begitulah bila mana Collodi mereka dan menulis Pengembaraan Pinokio itu, ia adalah dengan latar selepas Perang Kemerdekaan yang berlarut sampai 12 tahun. Collodi adalah askar bagi Tuscan.

Apakah seks dan segala benda dalam seluar menjadi mainan politik sejak 12-13 tahun lalu tak menjadi udara kehidupan harian kita sesak jerebu? Dan orang bersumpah seraya “sumpah laknat” tidak akan memberi apa-apa pengerti spiritual lagi, bukan?

Saya teringat Pinokio—siri TV yang pernah disebutkan nenek. Katanya, “jangan ada patung dalam rumah, nanti patung itu minta nyawa.” Pesan nenek membuatkan saya takut di suatu waktu, tetapi juga menjadikan saya semakin ghairah untuk mempunyai sebuah boneka yang boleh menemankan saya bermain petang-petang.

Apabila dia berbohong, hidungnya akan panjang. Semakin dia berbohong, semakin panjang hidungnya. Atau mungkin sahaja saya—seperti juga ramai orang Malaysia—yang mahukan agar pembohongan segera terbongkar.

“Politik cemar” seperti yang berlangsung sekarang tak hanya mencederakan peribadi Anwar, misalnya. Tak juga sekedar bisa merosakkan (andai itulah tujuannya) sebuah parti politik.Cemar yang begini sesungguhnya telah dan sedang merosakkan seluruh peribadi dan nurani bangsa.

Sampaikan anak-anak kecil, seawal sekolah rendah pun sudah bicara sesama mereka tentang liwat. Orang Malaysia baik Melayu, baik Cina, baik India atau apa kaum keturunan sekalipun, tak lagi rasa malu-malu untuk membicarakan soal yang sebelumnya ini dianggap “benda dalam kain”. Baik lelaki, baik perempuan dengan semuanya terdedah.

Maka, di satu sudut, kita melihat kemunafikan. Kita menyaksikan hipokrasi dan kepura-puraan. Sememangnya seks-dan-kekuasaan memang tak bisa terpisah. Sepertimana juga masyarakat Eropah kala di Zaman Gelap mahupun kala instutusi ugama mendapat puncak kuasa.

Bukan sekadar di media, di paparan suratkhabar-suratkhabar sahaja gambar-gambar porno dicetak, malah sampai ke lantai-lantai gereja. Sebab seks mendapat ‘pelindungan istimewa’ daripada institusi ugama. Dan pelaku-pelaku curang itu pula tidak lain daripada mereka yang berdiri tegak di atas lantai-lantai gereja. Arakian, hari ini, di sebuah negeri yang dikatakan “negara Islam”, perihal seks sudah sampai ke lantai-lantai mesjid.

Beruntunglah sebab semua pelakunya sudah adalah manusia yang penuh nyawa. Bukan seperti Pinokio yang baru separuh nyawa—sedangkan apabila dia berbohong, hidungnya akan semakin panjang.

Sedangkan apabila manusia yang berbohong, dia masih boleh terus bersemuka dengan umum, dengan media. Sampailah di suatu hari, Pinokio mendapat jadi seorang manusia; diberikan nyawa, untuk hidup seperti orang lain. Seperti kanak-kanak lain.

Pembohongan adalah punca sumbu kepada segala kehancuran. Orang kita bukan sedang belajar tentang liwat dan seks, tetapi orang kita sesungguhnya sedang belajar cara bagaimana untuk tidak berbuat dan bercakap benar. Bohong mula dianggap boleh.

Orang kita sedang belajar untuk itu.

Hasmi bin Hashim, seorang penulis yang berpolitik dan juga seorang politikus yang menulis.

Friday, May 6, 2011

JOM MERIAHKAN EXPO RAKYAT N.06!


Salam Perjuangan! Jemput rakan2 bersama meraikan EXPO RAKYAT N.06 pada ketetapan berikut;

TARIKH : Sabtu, 14 Mei 2011
MASA : 9.00 Pagi-12 Tgh Malam
TEMPAT : Perkarangan Pejabat JKKK Pekan Darat, Telok Ayer Tawar

AKTIVITI MENARIK :

Pagi; Sukaneka Rakyat, Kaunter Daftar SPR, Kaunter PUZ, Pemeriksaan Kesihatan
Percuma, Daftar JKM & Pendaftaran Warga Emas dan Ibu Tunggal.

Petang; Jejak Fakir & Hi-Tea bersama Ketua AMK Malaysia

Malam; CERAMAH UMUM

Penceramah;

1. YAB Tuan Lim Guang Eng, S/Agung DAP
2. YB Dato' Mansor Bin Hj. Othman, Naib Presiden KEADILAN
3. Sdr. Shamsul Iskandar Md Akin, Ketua AMK Pusat
4. YB Firdaus Jaafar, Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Pusat
5. Sdr. Badrul Hisham Shaharin (Chegubard), Pengerusi SAMM
6. Sdr. Syed Mikael Rizal Aidid, Ketua AMK Tasek Gelugor

Moderator;

Sdr. Saifullah Zulkifli, Exco AMK Pusat


Datanglah beramai2! Satu program khas 'Dari Rakyat, Untuk Rakyat, Demi Rakyat'!

Salam Reformasi!!