DSAI BERSAMA AMKPP #TAWAN416!

DSAI BERSAMA AMKPP #TAWAN416!

Tuesday, June 14, 2011

Burton Si Inggeris | JalanTelawi.com

oleh Eekmal Ahmad, dipetik dari Jalan Telawi.com



Sir Richard Francis Burton (1821-1890) adalah seorang pengembara, penterjemah, penulis, askar, penyair, orientalis, etnologis, ahli bahasa dan diplomat Inggeris.

S

ukar membayangkan kekecewaan Hannah Yeoh dan suaminya apabila gagal mendaftarkan anak mereka sebagai “anak Malaysia.” Anak itu adalah saksi kepada cinta dan harapan, dua perkataan yang sering berjalan seiring. Kerana itu siapa sahaja yang cuba merasakan bagaimana kekecewaan kedua ibu bapa tersebut, pasti menemui kegagalan.

Mana mungkin yang sekadar berat mata memandang punyai beban sama dengan bahu yang memikul. Pun begitu tidaklah salah memahami kekecewaan itu. Hannah dan suami pada pandangan saya bukan mahu berpolitik, apatah demi anak mereka, apa yang mereka mahu anak ini tidak lagi dianggap sebagai warganegara kelas kedua, orang asing di bumi sendiri.

Saya kira ramai kebingungan, seperti juga Hannah seorang Cina dan Ram berketurunan India, mengapa ada di antara kita yang lahir di bumi bertuah ini masih dianggap “asing”? Saya menggunakan “kita” memperihalkan Hannah, Ram dan saya kerana sebagai rakyat Malaysia, tiada beza antara kami. Saya sungguhpun berketurunan Melayu, tidak lebih penting dari Ram, Hannah mahupun anak mereka itu. Sebagai warganegara atau rakyat Malaysia, kami setara.

Maka setara, sama dan tidak ada perbezaan antara satu ras dengan yang lain menjadi permasalahan. Sekian lama istilah dan makna menjadi mainan politik, lebih malangnya apabila politik itu saban hari semboyannya adalah perkauman sempit. Kerana itu “setara” dan “sama” bukanlah istilah kegemaran, istilah seumpama itu mencabar naratif politik usang, naratif politik pemerintah.

Bagi pemerintah, kekuatan mereka itu diperolehi kerana kaum, atau lebih tepat dengan “memisah-misah” kaum itu. Justeru ada yang berpendapat yang “dipisah-pisah” itu lawannya bukan sahaja dengan “setara” akan tetapi juga dengan “bersatu.” Tidak hairanlah selepas itu ada yang menyeru, segera dengan projek negara bangsa yang dikenal sebagai “Bangsa Malaysia.” Suatu projek gah pada nama. Yang akhirnya pasti tidak lepas dari makna “demi untuk bersatu.”

Akan tetapi naïf-lah kita jika tidak sadar “bersatu” pun sudah lama diberatkan dengan makna politik, sudah lama menjadi senjata aktor politik. Cuba tanyakan kepada mereka yang menentang kezaliman pemerintah di seluruh pelusuk dunia, beberapa kali perjuangan mereka tewas atau terbantut kerana seruan untuk bersatu? Atau cuba tanyakan berapa kalikah mereka menangis kerana rakan seperjuangan, selepas berjaya diangkat menjadi “Pemimpin Revolusi” mengkhianati dan kemudiannya menggunakan senjata “bersatu” itu untuk menikam mereka?

Barangkali sajak Rendra ini boleh direnungi:

Dan kau Dasima,

Khabarkan pada rakyat,

Bagaimana para pemimpin revolusi,

Secara bergiliran memelukmu,

Bicara tentang kemakmuran rakyat dan api revolusi,

Sambil celananya basah,

Dan tubuhnya lemas,

Terkapai disampingmu.

Jangan salah sangka, saya tidak membabi buta menentang sebuah persatuan. Saya menentang apabila “bersatu” yang dianggap antidot kepada “pemisahan,” digunakan pula untuk membungkam suara yang terus mengkritik, menjahanamkan setiap percanggahan pandangan dan menganggap kepelbagaian sebagai suatu kelemahan. Jangan terkeliru antara “pemisahan” dengan “kepelbagaian.” Sementara “pemisahan” punya maksud seperti jurang yang semakin dalam, “kepelbagaian” hadir dengan makna “saling menghormati.”

Kerana itu saya memilih untuk menukilkan perihal seorang manusia Inggeris bernama Richard Francis Burton. Pengembara ulung yang mahu jadi seorang Kosmopolit, seorang warga dunia.

Richard Burton bukan sahaja fasih bahasa-bahasa Eropah seumpama Bearnais, yang lebih menakjubkan pada umur 21 tahun, tatkala bekerja untuk Syarikat Hindia Timur di Sindh, beliau malah menguasai Gujarati, Marathi, Afghan, Parsi dan Bahasa Arab.

P

ada tahun 1853, Richard Burton, menyamar sebagai seorang Pathan, pastinya dibantu kebolehan bertutur dengan pelbagai bahasa itu berjaya “menunaikan” haji di Mekah serta menziarahi pula kota Madinah.

Kehebatan Burton menguasai pelbagai bahasa sudah pasti melayakkannya sebagai salah seorang Kosmopolit ulung, namun kehebatan manusia Inggeris ini yang lahir dari sebuah empayar yang waktu itu sibuk menjajah Negara-negara Asia termasuk salah satu nya kemudian dikenali sebagai Malaysia tidak terhenti sekadar itu sahaja. Burton lah yang memahsyurkan karya Karmasutra, Riyadul Attar (The Perfumed Garden) dan Hikayat 1001 Malam apabila menterjemahkan kitab -kitab tersebut dari bahasa asalnya ke Bahasa Inggeris.

Apakah Burton tidak punya prasangka serta prejudis seorang Inggeris tatkala itu? Jawapannya ya, Burton punyai prejudis seorang Inggeris waktu itu, namun kekagumannya terhadap budaya serta manusia yang bukan sebangsa dengannya jauh mengatasi prasangkanya. Kerana itu tidak berlebihan kiranya pada pandangan saya Richard Burton boleh lah dianggap Bapa Kosmopolitan Moden buat kita. Kerana Burton mengajar kita secara sengaja atau tidak, asas awal faham Kosmopolitanisme itu, bermula dengan kenal mengenal dengan rasa hormat menghormati antara satu sama lain.

“Cliche” mendengar ungkapan kenal mengenal dengan rasa hormat menghormati? Namun ungkapan yang sering didengar dan diulang inilah yang gagal ditanggapi. Kosmopolitan terutamanya di kalangan kita sekadar mashyur kerana adanya majalah “lifestyle” dengan judul yang sama. Lebih membingungkan “lifestyle” Kosmopolitan itu lebih terkait dengan cara hidup komersial berbanding berusaha mengatasi prasangka, prejudis dan meraikan kemajmukan budaya antara kita. Jangan salah sangka, bukannya saya menentang majalah tersebut atau kandungannya cuma seorang Kosmopolit tidak semestinya menikmati fois gras di Frangipani, membeli roti di The Loaf atau memilih pakaian dari butik The Emperor’s New Clothes.

Percayalah ramai dari mereka yang ke sana tidak mampu pun menanggung makna Kosmopolitan. Dan janganlah terkejut jika seorang imam tua di surau usang di tepi sawah atau seorang Tiong Hua lanjut usia yang masih gigih mengusahakan kebun sayurnya lebih berupaya meraikan Kosmpolitanisme berbanding anak muda yang asyik dengan teknologi seumpama iPad serta Androidnya.

Tidakkah ironi, zaman teknologi yang membuka ruang seluas luasnya buat anak muda menghadam maklumat sebanyak banyaknya masih gagal mengolah pemikiran mereka untuk mulai berkomunikasi dengan yang “asing” dari mereka. Perhatikan lah, bagaimana ada antara kita bahkan terasa janggal apabila secara tiba-tiba berada dalam lif bersama mereka bukan dari ras yang sama. Malah untuk mengukir senyuman pun kita terasa berat. Bukankah mudah sebenarnya untuk bertanyakan khabar dan mengukir senyuman? Mengapa terasa terlalu terasing?

Apabila saya mengisahkan tentang Richard Burton sebagai sosok utama seorang kosmopolit, bukannya saya tidak mengakui ketidaksempurnaan beliau. Hakikatnya Burton lahir dari lingkungan sebuah empayar yang masih berpengaruh membentuk bagaimana dia memperihalkan sekelilingnya. Akan tetapi meneliti catatan pengalaman, terjemahan serta kisah mengenai beliau, kita sedar Burton berusaha kuat meruntuhkan tembok yang memisahkan antara dia dan “mereka,” antara yang dijajah dengan “penjajah” antara Timur dan Barat, antara yang bertamadun dan yang gasar.

Richard Burton sedar jurang antara dia dan mereka yang lain, namun bukanlah suatu yang mustahil merapatkan perbedaan tersebut. Dan tatkala itu Burton tidak mempunyai Twitter serta Facebook mahupun internet untuk beliau berkomunikasi. Kekaguman beliau terhadap kebudayaan mereka yang lain darinya, membuatkan rakan-rakan Burton tertanya sama ada Burton itu masih seorang Inggeris atau tidak. Jawapannya pasti ya, Burton masih seorang Inggeris namun beliau juga “anak dunia” yang sudah jauh mengembara ke seluruh pelusuk bumi. Perbedaan bagi Burton bukanlah penyebab kepada penindasan mahupun perkauman sempit, malah kepelbagaian adalah untuk suatu yang diraikan.

Maka tidak hairanlah apabila Burton mengungkapkan bait qasidah ini, seolah olah memperihal kan dirinya:

There is no Good, there is no Bad;

These be the whims of the mortal will …

Jelas sekurang-kurangnya buat saya, apabila merenung bait itu maka terbayangkan betapa Burton sedang bergulat membongkarikatan-ikatan yang membelenggu pemikirannya. Bukannya ikatan seorang “Inggeris” akan tetapi ikatan sebuah “Empayar Inggeris” yang mahu semuanya “bersatu” di bawah naungan Sang Ratu. Hanya belenggu penjajahan yang melihat yang dijajah sebagai orang gasar atau biadap. Akan tetapi Burton Si Inggeris tidak, dia malah takjub dan tenggelam dengan Kepelbagaian.

Kerana itu saya mengganggap wacana Kosmopolitan itu suatu agenda yang mendesak. Ianya membentuk sikap kita terhadap kepelbagaian di sekeliling dan pada masa yang sama meraikan identiti yang membaluti diri sendiri. Pengertian mudahnya, anda menolak perkauman sempit, anda menolak sebarang bentuk penindasan berasaskan perkauman dan pada masa yang sama tidak goyah keyakinan anda dengan ras serta identiti anda sendiri.

Ya! Sebagai seorang kosmopolit, anda tidak perlu membuang jatidiri anda, ras anda, identiti anda. Seorang kosmopolit tuntas mengakar jauh ke dalam jatidiri yang sebenar. Adalah tidak mustahil saya seorang Melayu, seorang Islam, seorang rakyat Malaysia juga merupakan seorang kosmopolit, seorang “Warga Dunia” ini.

Eekmal Ahmad, sering menemukan ketenangan di antara rak-rak buku Kinokuniya. Sekarang berkerja sebagai penyelaras media kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.


No comments:

Post a Comment